`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, February 18, 2021

Kang Jalal sufi dan ahli psikologi

 

Keberangkatan Jalaluddin Rakhmat, seorang tokoh komunikasi, psikologi, dan cendekiawan besar Indonesia yang lebih dikenali sebagai Kang Jalal pada 15 Februari 2021 lalu tentu sahaja meninggalkan lompong besar dalam usaha pembangunan renaisans umat di Nusantara. Menurut beberapa laporan media, beliau dan isteri meninggal dunia akibat komplikasi ekoran jangkitan Covid-19.

Saya pernah rasa kehilangan seorang bapa yang saya rujuk ia bagai tercabutnya separuh usia. Saya juga pernah kehilangan guru iaitu Shahnon Ahmad yang saya ibaratkan seumpama sentakan jiwa yang hebat. Akan tetapi kehilangan maha guru yang menjadi hamparan keilmuan dan falsafah untuk kerja-kerja saya, ia sepertinya siang cerah yang tiba-tiba gelap bukat dilanda badai di tengahari.

Ia menghentikan segala-galanya, ia membuatkan kita merenungi masa depan kita. Ia mengetuk kita ke laluan masa depan tetapi tanpa pimpinan. Ia meletakkan kita sendirian memimpin. Itu sangat mengerikan jika belum berani dan bersedia.

Kali terakhir saya bertemu Kang Jalal ialah pada 2019. Untuk sesetengah orang, Kang Jalal dikenali sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat antara 2014-2019 dari Parti PDI Perjuangan (PDIP). Kang Jalal dibesarkan dalam keluarga Nahdliyin (Nahdlatul Ulama), akan tetapi kemudian terlibat dalam aktiviti gerakan Muhammadiyah.

Beberapa lama setelah itu Kang Jalal mendalami tasawuf dan, ikut mendirikan salah satu organisasi Syiah di Indonesia, yang dikenali sebagai Ikatan Jamaah Ahlulbait Indonesia (IJABI) pada 2000 di Bandung. IJABI memilih untuk ikut serta dalam pembangunan umat Islam dengan cara mencerahkan pemikiran umat, sambil membela nasib kaum tertindas (mustadh’afin).

Kang Jalal juga berusaha keras untuk mendamaikan mazhab Syiah dan Sunni di Indonesia, yang antara lain beliau menubuhkan Majlis Ukhuwah Sunni Syiah Indonesia, atau Muhsin, pada 2011.

Akan tetapi untuk pengekor Kang Jalal, sosok beliau sebagai ahli politik atau aktivis agama itu mungkin satu letak duduk yang lain. Jalaludin untuk orang yang waras adalah seorang pencerah pemikiran di mana beliau rajin membantu kefahaman keberagamaan yang inklusif, selain mengajak kebebasan berfikir, dan tentunya bertolak ansur.

Ini misalnya diakui oleh cendekiawan Ulil Abshar-Abdalla yang dalam siri ciapan menyatakan Kang Jalal adalah antara minda terbaik di Indonesia; “Ada segelintir manusia dianugerahi “maziyyah” (keistimewaan) oleh Tuhan berupa kemampuan “mengubah cara pandang” banyak orang. Dengan cara inilah, sejarah “dibentuk” dan diubah. Saya berpandangan, Kang Jalal, bersama pemikir Muslim lain, masuk dalam kategori ini. Banyak anak muda di seluruh Indonesia secara intelektual berhutang-budi kepada Kang Jalal, melalui buku-bukunya yang enak dibaca, juga ceramahnya yang bernas tetapi jenaka. Saya banyak belajar Islam dari buku Kang Jalal, terutama bukunya yang tak pernah saya lupakan: Islam Aktual.”

Ulil seterusnya menambah ketika Kang Jalal tumbuh marak di Indonesia iaitu pada 1980-an, beliau menjadi “magnet intelektual baru di Bandung”, yang mana kata Ulil adalah era “keemasan pemikiran Islam” di Indonesia yang ketika itu, berfikir kritis, liberal, progresif, dan “belum dikafir-kafirkan seperti sekarang”.

Saya suka menyorot Kang Jalal sebagai tokoh sufi yang amat berbekas dalam kalbu. Ketika saya asyik sekali menulis karya-karya kreatif sufistik saya seperti Advencer Si Peniup Ney, 1511H Kombat, dan Surat-surat Perempuan Johor, Kang Jalal adalah landasan intelektual di belakang karya-karya ini. Sesebuah karya kreatif menurut saya haruslah mempunyai dasar atau sandaran falsafah yang kuat. Saya berolehnya dari tulisan beliau tatkala itu.

Salah sebuah buku sufisme beliau yang amat mempengaruhi saya ialah Meraih Cinta Ilahi: Pencerahan Sufistik (1999) yang merupakan kutipan ucapan-ucapan beliau. Mujur terdapat beberapa murid beliau yang, demi merakam segala idea dalam fikiran beliau yang spontan itu, telah merekodkan segalanya dan menuliskan kembali; “verba valent, scripta manent” (perbicaraan itu menghilang, namun karangan kekal abadi).

Memandangkan kita dalam bulan Rejab dan tidak lama lagi akan menyambut Israk Mikraj, saya ingin mengongsikan satu mutiara yang saya peroleh dari beliau.

Menurut Kang Jalal, Israk Mikraj adalah satu peristiwa beragama yang masuk akal. Malah ia juga adalah satu peristiwa dengan kerangka sufistik yang paling masuk akal. Almarhum menjelaskan terdapat tiga tanggapan mengenai hal yang dikatakan tidak masuk akal itu.

Pertama, sesuatu itu dikatakan tidak masuk akal apabila tiada bukti empirikal, atau dalam erti kata lain tidak dapat dilihat dan diukur dengan pancaindera. Makanya hal dianggap ghaib itu selalunya dihitung tidak masuk akal.

Kedua, terdapat juga tanggapan tidak masuk akal itu ialah keadaan ia terkeluar dari kebiasaan. Misalnya apabila Ali Abi Talib mampu mengangkat pintu kubu Khaibar, ia dianggap tidak masuk akal; ini kerana berlaku di luar dari kebiasaan. Sepertinya ada orang yang mencipta rekod dunia – The Guinness Book of Records – dengan menghela pesawat atau trak yang berat. Itu kan di luar kelaziman maka keadaan ini dianggap tidak masuk akal.

Ketiga, terdapat keadaan yang kita namai tidak masuk akal kerana kita sendiri belum atau tidak memahaminya.

Kang Jalal mengingatkan; “peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa yang sangat masuk akal dan sangat logis. Hanya saja peristiwa ini memang tidak empiris, tidak tunduk pada hukum-hukum fizik biasa. Bagi saya semua ajaran agama itu bisa kita renungkan lewat akal kita.”

Kang Jalal seterusnya mengingatkan satu pesan yang mustahak; “jangan gunakan alasan iman untuk mematikan akal dan untuk menghambat fikiran kita. Jangan sekali-kali katakan sesuatu itu tidak masuk akal kerana anda tidak memahaminya.”

Di sinilah masuknya kerangka sufistik yang segar daripada almarhum. Menurut Kang Jalal, akal sahaja bukan cara untuk mengetahui sesuatu itu. Di dalam Al-Quran misalnya ilmu diketahui atau diperolehi dengan pertama, penginderaan atau melihat sendiri. Ini misalnya terjadi pada kaum Nabi Musa. Kaedah kedua ialah dengan menggunakan pertimbangan fikiran kita. Cara lain ialah mengenal, mengetahui, atau beroleh sesuatu itu dengan kalbu.

Dalam hal ini kaum sufi juga beroleh sesuatu itu menerusi “riyadhah” iaitu kedekatan diri kepada Allah. Dalam hal ini apabila kita betul dekat dengan Tuhan, sesuatu yang serasa mustahil itu dapat berlaku. Tentulah baginda Rasulullah yang melakukan perjalanan Israk Mikraj itu adalah bapa segala sufi, atau induk segala pengamal tasawuf. Maka itulah sebabnya Nabi Muhammad dapat berangkat menuju ke tujuan akhir iaitu Sidratul Muntaha (destinasi penghabisan). Destinasi ini bukan tempat tinggalnya Allah tetapi ia sekadar digunakan untuk menjelaskan tempat berada Rasulullah, ini kerana Allah tidak tunduk kepada ruang dan waktu.

Di situlah berlaku semacam “perbicaraan” Allah dan baginda Nabi di mana Rasulullah mengucapkan salutasi untuk Sang Pencipta; “Attahiyyatul mubarakatush shalawatuth thayyibatu lillah”. Yakni, “segala penghormatan, kemuliaan dan keagungan kepunyaan Allah semata-mata”. Allah “membalas” dengan “Assalamua alaika ayyuhan nabiyy warahmatullahi wabarakatuh”.

Kehebatan “dialog” itu disaksikan para malaikat yang masing-masing melafazkan; “Asyhadu alla ilaha illallah wahdahu la syarika lahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhu warasuluhu’” iaitu “saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan saya bersaksi bahawa Muhammad itu pesuruh dan utusan Allah”.

Apa yang paling agung dari perjalanan ke langit itu ialah, sebagai sufi paling agung, Nabi Muhammad tidak memilih untuk menetap di sisi Sang Pencipta tetapi baginda ingin kembali ke dunia untuk menyebarkan kesejahteraan dan kemanusiaan kepada semua makhluk di muka bumi. Untuk itu baginda pun turun bekerja dan berkhidmat kepada kita semua.

Dalam kerja-kerja hak asasi manusia saya, khusus menanggapi kemerdekaan beragama, sebuah buah tangan almarhum yang amat membantu saya ialah Psikologi Agama: Sebuah Pengantar (2003). Di dalam karya ilmiah yang monumental ini, beliau membuka kita kepada kefahaman keberagamaan agama secara manusiawi.

Terdapat banyak lagi permata khazanah Kang Jalal. Tidak terucap nilainya. Sungguh besar sumbangan dan jasa almarhum.

Dalam pertemuan terakhir saya dengan beliau, kami berbincang tentang hak asasi manusia. Kami juga berbincang tentang sekularisme, negara Islam, dan beberapa hal lain. Selalunya ada sahaja perkara baru yang diajarkan untuk dijadikan pedoman. Demikianlah juga dalam perjumpaan itu. Ini adalah satu catatan belasungkawa yang sulit sekali digarap.

Selamat jalan Kang Jalal, selamat bertemu Cinta sebagai ahli sufi yang penuh kasih. Terima kasih atas ilmunya, terima kasih atas khidmatnya, terima kasih atas kesedaran dan keyakinan yang mendalam tentang kemanusiaan. Sungguh tanpamu terasa kekosongan, tetapi terpaksa meneruskan.

Semoga kita bertemu di jalan nanti. Moga-moga Kang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.