`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 2, 2021

Kisah pilih kasih, bulu, dan diskriminasi

 

Apa beza antara pilih kasih, pilih bulu, dan diskriminasi? Kata pakar bahasa:

  • Pilih kasih ialah memihak, sifat berat sebelah dalam membuat keputusan.
  • Pilih bulu ialah memandang kedudukan, bangsa, keturunan
  • Diskriminasi ialah pelayanan yang tidak adil terhadap individu atau kumpulan tertentu.

Menurut Wikipedia, diskriminasi merupakan suatu amalan yang biasa dijumpai dalam masyarakat manusia – berpunca daripada kecendurungan manusia untuk membeza-beza manusia.

Saya menyimpulkan tidak ada bezanya antara pilih kasih, pilih bulu, dan diskriminasi kerana jika kita pilih kasih dan pilih bulu, atau memihak sesuatu kumpulan tertentu, kita mendiskriminasi sesuatu kumpulan yang lain.

Ertinya, amalan berat sebelah dan memilih akan membahagiakan satu kumpulan sementara mendukacitakan kumpulan yang lain.

Kerap kedengaran (secara terbuka atau bisik-bisik) aduan atau rungutun komuniti bukan Melayu bahawa mereka didiskriminasi dasar pentadbiran negara. Sama ada melibatkan soal mencari pekerjaan (dalam sektor awam khususnya), kenaikan pangkat, mendapat peluang pelajaran, atau membeli rumah. Panjang senarainya dakwaan mereka namun cukup setakat ini. Kita faham apa yang mahu disampaikan.

Aduan seperti itu kerap menimbulkan polemik hangat. Ada pihak yang menafikan dan menyifatkannnya “sekadar tuduhan liar”. Namun tentunya ada yang berpendapat sebaliknya.

Bagi saya, secara peribadi, tidak dinafikan ada betulnya rungutan itu. Mengapa ia berlaku soal lain. Kenyataannya ia ada berlaku. Mungkin tidak seburuk dasar apartheid yang diamalkan di Afrika Selatan daripada 1948 hingga 1990-an tetapi ia berlaku.

Lantas ramai orang bukan Melayu yang kecewa dan marah, terus merajuk dan membawa hati ke negara luar. Ada dalam kalangan mereka berjaya dalam pelbagai bidang dan mencipta nama.

Ada juga yang tidak “menjadi”. Tetapi bagi yang berjaya membuktikan mereka boleh membuat sumbangan besar jika diberi kesempatan. Sayang mereka tidak dihargai di negara kelahiran.

Laporan disiar FMT tempoh hari mengisahkan bekas guru Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim di Kedah bernama Hashim Abdul Rahman. Oleh kerana menjadi mangsa amalan pilih kasih, beliau membawa diri ke Australia setengah abad yang lalu.

Ringkas ceritanya, Hashim dan seorang rakan sepatutnya di hantar ke Kanada untuk mengikuti latihan selama beberapa tahun supaya bila balik kelak akan mengendalikan program TV Pendidikan.

Namun setelah menunggu dua tahun, beliau mendapat tahu orang lain dihantar ke Kanada dan orang itu ialah menantu salah seorang pegawai tinggi Kementerian Penerangan. Cukup di situ walau pun ada lagi yang melukai hati beliau.

Hashim berhijrah ke Australia dan melepaskan kewarganegaraan Malaysia. Di Australia, beliau menjadi penjawat awam. Minggu lalu, Hashim menerima antara penghormatan tertinggi Australia iaitu “Order of Australia Medal” kerana jasanya kepada masyarakat Islam dan pengurusan persijilan halal negara itu.

Kita kerugian. Bayangkan sumbangan yang boleh beliau berikan kepada negara jika berada di Malaysia. Jika beliau diibaratkan sebutir permata, permata itu tidak dihargai di negara asalnya .

Yang hendak disampaikan ialah amalan pilih kasih tidak memilih kasih dalam menjadikan orang mangsanya. Hakikatnya pilih kasih, pilih bulu, diskriminasi terjadi ke atas semua bangsa.

Untuk memastikan kita tidak akan terus terlepas permata yang akan digilap negara lain, amalan pilih kasih, pilih bulu, dan diskrimnasi mesti dihentikan dan digantikan dengan dasar meritrokasi.

Kata Lim Hong Siang, pengarah eksekutif Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA menerusi catatan diFacebook: “Jikalau diskriminasi diberi laluan untuk berlaku antara kaum, apakah ia tidak akan berlaku sesama kaum satu hari nanti?”

Jika diambil kisah Uncle Hashim sebagai contoh, ia sudah berlaku sejak setengah abad yang lalu. Sungguh malang.

Tiba masanya ia dihentikan. Bolehkah? Harap boleh. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.