`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Wednesday, February 24, 2021

Kluster baharu di Nabawan punca Covid-19 di Sabah kembali meningkat

 

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kes di Nabawan contoh kenapa rentas daerah masih belum dibenarkan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, kluster baharu iaitu Sinsingon di Nabawan adalah punca kes harian Covid-19 di Sabah kembali mencatat tiga angka.

Katanya, sebanyak 19 kes baharu yang dicatatkan di daerah berkenaan datangnya daripada kluster terbabit dengan jangkitan dipercayai berpunca daripada satu majlis penghormatan kematian keluarga di Kampung Sinsingon.

”Kes indeks membabitkan tiga individu yang dikesan positif menerusi ujian saringan sebelum kemasukan ke asrama sekolah pada 22 Feb lalu.

”Selepas itu, hasil saringan kontak rapat mendapati 16 daripada 30 ahli keluarga yang disaring disahkan positif Covid-19.

”Jangkitan dipercayai berpunca sewaktu menghadiri majlis penghormatan kematian keluarga di Kampung Sinsingon, Mukim Sapulut di Nabawan pada 17 sehingga 20 Feb lalu,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di Sabah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Masidi turut memberi contoh kenaikan mendadak kes Covid-19 di Nabawan antara faktor mengapa aktiviti rentas daerah masih belum dibenarkan ketika ini.

Katanya, daerah terbabit sebelum ini tidak mencatatkan sebarang kes tetapi disebabkan aktiviti rentas daerah, Nabawan kini menjadi zon merah.

”Kalau kita masih ingat sebelum ini Nabawan tidak mencatat sebarang kes tetapi dibawa daripada daerah lain iaitu seorang penjual ikan dari Kudat dan kini kes di daerah berkenaan ‘meletup’.

”Inilah sebabnya aktiviti rentas daerah masih belum dibenarkan buat masa ini dan tindakan ini juga adalah bagi memastikan penularan wabak itu tidak terus meluas di negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata 105 kes baharu dicatatkan di Sabah pada hari ini iaitu meningkat 11 kes berbanding semalam.

Selain itu, katanya, satu lagi kematian dicatatkan hari ini iaitu membabitkan pesakit di Tawau.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata segala persoalan mengenai vaksin termasuk jumlah dos yang akan tiba di Sabah hanya akan dijawab dalam sidang media sejurus selepas ketibaan vaksin berkenaan, tengah hari esok.

”Untuk makluman semua, saya akan mewakili ketua menteri untuk menyambut ketibaan vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), esok.

”Ada beberapa perkara mengenai perkara ini (vaksin Covid-19) yang tidak boleh saya dedahkan atas sebab-sebab keselamatan, jadi kita tunggu esok,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.