`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, February 20, 2021

Kuat kuasa PLKS, kurangkan kebergantungan nelayan asing

 

Timbalan menteri MAFI II Che Abdullah Mat Nawi berkata, langkah itu bagi memastikan industri berjalan lancar, teratur dan selamat dalam jangka panjang.

TUMPAT: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata cadangan kerajaan untuk menguatkuasakan pelaksanaan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah bagi mengurangkan kebergantungan industri perikanan tempatan dalam menggaji nelayan atau awak-awak warga asing.

Timbalan Menteri MAFI II Che Abdullah Mat Nawi berkata langkah itu juga usaha kerajaan dalam memastikan industri tersebut berjalan lancar, teratur dan selamat dalam jangka panjang.

Beliau berkata kerajaan telah berusaha melaksanakan PLKS sejak 2015 namun ditangguh sehingga kini kerana mengambil kira permintaan nelayan.

“Seharusnya penangguhan itu sudah memberi masa yang mencukupi bagi pemain industri untuk bersedia menjalankan proses tangkapan laut dengan lebih teratur.

“Maknanya menggunakan nelayan-nelayan yang dokumennya ditambah baik untuk kebaikan industri dalam jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas melawat DDD Farm iaitu ladang ternakan itik penelur di sini hari ini.

Khamis lepas, media melaporkan masa depan pengusaha bot nelayan komersial bumiputera di seluruh negara gelap jika kerajaan melaksanakan PLKS yang membabitkan perbelanjaan seperti tambang dan bayaran kuarantin sehingga mencecah hampir RM6,000 bagi setiap nelayan warga asing.

Menerusi laporan itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu) Mat Yassim Mohamed berkata sekiranya PLKS dilaksanakan terutama ketika pandemik Covid-19, rata-rata pengusaha bumiputera bukan sahaja terpaksa gulung tikar malah terus terpinggir dalam industri perikanan komersial negara.

Beliau juga berkata MAFI, melalui Jabatan Perikanan Malaysia, mengambil maklum segala keluhan yang dikemukakan pemain industri malah perkara itu telah dibincangkan bersama dengan kementerian serta agensi berkaitan.

“Isu PLKS ini juga di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri. Maka perkara ini sedang diperhalusi sebelum pengumuman rasmi dikeluarkan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bercadang melaksanakan PLKS terhadap pekerja asing dalam industri perikanan bermula Julai lepas namun ditangguhkan bagi memperhalusi beberapa faktor demi kepentingan semua pihak. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.