`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 15, 2021

Mahkamah Rayuan dengar permohonan Rosmah berhubung pelantikan Sri Ram 8 April

 

Rosmah memohon mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah terhadapnya. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Apr ini bagi mendengar rayuan Rosmah Mansor berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan surat pelantikan Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuahnya.

Peguam beliau Akberdin Abdul Kader mengesahkan tarikh itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pengurusan kes untuk rayuan itu dikendalikan oleh Penolong Pendaftar Darmafikri Abu Adam pada 8 Feb lalu.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan berkata isteri kepada bekas perdana menteri Najib Razak itu tidak mengemukakan sebarang justifikasi untuk beliau memperoleh surat pelantikan tersebut.

Rosmah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah yang dihadapinya berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah berdepan dengan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima RM6.5 juta suapan daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin berkaitan projek tenaga solar itu.

Rasuah itu didakwa diterima menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings memperoleh Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; di kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta serta di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Jan 2016 dan Sep 2017.

Mahkamah Tinggi menetapkan Khamis ini (18 Feb) untuk memutuskan sama ada memanggil Rosmah membela diri atau melepaskan beliau daripada kesemua tiga pertuduhan tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.