`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, February 12, 2021

Mansuh syarat pembelian PIN UPU, terutama ketika Covid-19, kata pendidik

 

Pengerusi Guru Muda Johor Mohamad Faris Jasma berkata, pemansuhkan syarat pembelian nombor PIN untuk permohonan kemasukan ke universiti dapat menjimatkan masa dan mengurangkan ketidakpatuhan terhadap SOP. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Sebilangan warga pendidik mencadangkan syarat pembelian nombor pengenalan diri unik (PIN) untuk permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan lain-lain melalui UPU dimansuhkan bagi sesi 2021/2022 dan seterusnya.

Cadangan ini disuarakan mereka yang menganggap syarat pembelian nombor PIN berkenaan oleh pelajar lepasan peperiksaan awam tidak lagi relevan mahupun praktikal sewaktu krisis Covid-19.

Pengerusi Guru Muda Johor Mohamad Faris Jasma berkata, sudah tiba masa Kementerian Pengajian Tinggi mempertimbangkan cadangan itu.

“(Syarat pembelian nombor PIN) perlu dimansuhkan terus kerana amat tidak wajar kementerian mengenakan bayaran untuk perkhidmatan yang boleh dibuat secara percuma dalam talian, sedangkan institusi swasta di negara ini tidak mengenakan satu sen pun bayaran (untuk permohonan kemasukan),” katanya.

Tambahnya, rata-rata calon yang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tidak memiliki pendapatan sendiri, dan kementerian seharusnya mengambil contoh model yang diamalkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang tidak mensyaratkan nombor PIN untuk permohonan pekerjaan.

“Dengan keadaan Covid-19 dilihat masih belum ditangani sepenuhnya, kita harus mengelakkan kehadiran ramai anak-anak kita atau wakil mereka yang berpusu-pusu untuk membeli nombor PIN di kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Ini dapat menjimatkan masa dan mengelakkan ketidakpatuhan terhadap SOP (prosedur operasi standard),” katanya ketika dihubungi FMT.

Faris berkata, cadangan itu juga sudah disuarakannya menerusi surat terbuka kepada Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad, namun belum mendapat maklum balas.

Seorang lagi guru, Amirul Syafiq berkata, syarat pembelian nombor PIN itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak rasional dan pendidikan tidak sepatutnya dikenakan bayaran sedemikian.

“Pada saya, tidak patut pun dikenakan bayaran, walaupun RM15.60 itu nampak macam kecil, tetapi boleh jadi itu kos makanan sehari untuk keluarga B40,” katanya.

Seorang guru kaunseling yang enggan namanya didedahkan berkata, timbul kesukaran untuk membeli nombor PIN bagi pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman yang akhirnya membuatkan mereka terlepas peluang melanjutkan pelajaran.

“Ya, untuk segelintir orang, RM15.60 itu jumlah yang kecil, tetapi ada golongan yang tidak mampu. Selain itu, tidak semua tempat memiliki kemudahan bank BSN, contohnya seperti di kawasan pedalaman,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.