`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, February 22, 2021

‘Saya boleh jaga adik’, 5 beradik tak rela dipisahkan

 

Farisha dan abangnya menjaga tiga adik yang kecil. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: “Tolonglah jangan pisahkan kami,” rayu kanak-kanak perempuan Nurul Farisha Mohd Ridzuan, 11.

Walaupun masih terlalu muda, Farisha rela menggalas tanggungjawab menjaga tiga adiknya berusia setahun sehingga enam tahun selepas kedua ibu bapa mereka ditahan polis atas kesalahan dadah.

Memetik laporan Berita Harian, Farisha bersama abangnya Muhammad Faris Mohd Ridzuan, 12, menghabiskan masa kanak-kanak mereka mengasuh adik-adik yang masih kecil.

“Setiap pagi, rutin harian saya ialah bangun untuk mandikan adik dan memberi mereka makan atau minum. Biasanya, saya hanya memberi adik susu pekat manis dibancuh dengan air yang direbus di atas dapur kayu,” kata Farisha.

Difahamkan, lima beradik itu tinggal bersama datuk dan nenek mereka dalam serba kekurangan, dengan bergantung ihsan daripada jiran tetangga.

“Makan pula apa yang ada sahaja, biasanya saya akan menggoreng telur atau masak mi segera sahaja yang dibeli oleh datuk, Fauzil Semail, 63. Kadangkala, jiran tetangga datang ke rumah membawa lauk-pauk untuk kami adik-beradik.

“Kami menumpang berteduh di rumah datuk yang juga menghidap pesakit asma kronik dan tidak boleh bekerja. Sebelum ini, kami tinggal dan bersekolah di Negeri Sembilan, sebelum mengikut ibu dan ayah pulang ke Kelantan,” katanya

Farisha juga terpaksa melupakan hasratnya untuk menyambung persekolahan, kerana risau tiada siapa yang akan menjaga adik-adiknya, terutama yang bongsu.

Tambahnya lagi, perkara yang paling ditakuti adalah jika terpaksa berpisah dengan adik-beradiknya setelah terdapat beberapa individu meluahkan hasrat mahu mengambil mereka.

“Ada sahaja yang datang menjenguk kami di sini dan meminta kebenaran saya untuk mengambil adik tetapi saya berkeras tidak beri kerana saya sayang mereka semua. Cukuplah kami diuji dengan ‘hilang sementara’ ibu dan bapa, jangan ditambah dengan perpisahan antara kami.

“Jujurnya, saya rindu ibu dan ayah, macam mana buruk sekali pun, mereka tetap orang tua kami, namun saya berharap mereka insaf dan tidak melakukan kesilapan lagi demi kami adik-beradik.”

Kisah sayu lima beradik itu mendapat perhatian netizen menerusi perkongsian laman sosial Facebook milik, Raja Anita Raja Mukhtar, yang turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.