`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 5, 2021

Tokan syabu Cameron Highlands dicekup

 

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Ashari Abu Samah menunjukkan syabu yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang media di IPD Cameron hari ini.

CAMERON HIGHLANDS: Seorang lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai menjadi pengedar tunggal dadah jenis syabu di sekitar Cameron Highlands ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah sewa di Ringlet Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Ashari Abu Samah berkata, suspek yang dipercayai menjalankan kegiatan menjual dadah sejak empat bulan lalu ditahan pada 12 tengah hari.

Katanya, suspek berasal dari Slim River, Perak ditahan bersama 61 paket syabu seberat 117.87g dianggarkan bernilai kira-kira RM17,000 mengikut harga pasaran.

“Syabu itu dijual pada harga sekali ganda lebih tinggi dari pasaran luar Cameron Highlands iaitu sekitar RM100 bagi setiap tiub seberat 0.5g, manakala bagi tiub seberat 1g dijual pada harga RM150 dan suspek dipercayai mengambil bekalan dari Tapah dan Ipoh.

“Difahamkan, suspek menjalankan operasi hanya melalui pesanan WhatsApp dan hanya menjual kepada pembeli dikenali, dengan membuat penghantaran terus kepada mereka khususnya di sekitar Tanah Rata dan Ringlet.

“Setakat ini, suspek dikesan menjalankan kegiatan itu secara bersendirian dan polis sedang menjejaki dan menyiasat sama ada suspek turut mempunyai rangkaian lain,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis daerah (IPD) Cameron Highlands.

Ashari berkata, suspek yang menjalankan kegiatan itu sepenuh masa menyasarkan penduduk tempatan berusia 40 tahun ke bawah daripada pelbagai latar belakang pekerjaan.

Beliau berkata, suspek yang turut positif syabu dikesan mempunyai dua kes lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Katanya, harga jualan tinggi dikenakan suspek kepada pembeli berikutan kesukaran mendapatkan bekalan dadah itu daripada pembekal dan perlu diambil di luar Cameron Highlands.

“Difahamkan harga pasaran bagi setiap tiub syabu di luar Cameron Highlands antara RM40 hingga RM50 bagi setiap tiub seberat 0.5g.

“Suspek kini direman tujuh hari hingga 8 Feb mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.