`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 2, 2021

Warganet, Peter Anthony, bayar saman, bantu penduduk pedalaman yang dikompaun RM8,000, langgar PKP

 

Peter (kanan) menyerahkan resit pembayaran kepada salah seorang penduduk yang dikompaun RM1,000 ketika keluar membeli barang keperluan di Tenom, baru-baru ini. (pix from Adun Melalap)

KOTA KINABALU: Kejadian lapan penduduk kampung di pedalaman Sabah yang dikenakan kompaun RM1,000 seorang ketika dalam perjalanan membeli barang keperluan di pekan Tenom mendapat pembelaan pelbagai pihak.

Selepas berita mengenainya tular di media sosial, naib presiden Warisan yang juga ADUN Melalap, Peter Anthony, tampil membayar kompaun penduduk terbabit dari Kampung Angalor.

Selain itu, mereka juga akan menerima bantuan makanan hasil sumbangan warganet yang disalurkan menerusi seorang pengguna Twitter yang memulakan kutipan dana secara dalam talian.

Usaha pengguna Twitter mendapat sambutan hangat apabila sebanyak RM8,000 dikumpulkan dalam masa kira-kira lima jam, dengan tujuan asal untuk membayar kompaun itu.

Bagaimanapun Peter lebih pantas melunaskan denda yang dikenakan terhadap penduduk kampong terbabit.

“Atas nilai kemanusiaan, saya rasa terpanggil untuk membantu mereka membayar kompaun itu kerana saya memahami situasi dan keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh dari kawasan pekan.

“Selain itu, ada antara mereka yang tidak mempunyai akses internet dan televisyen untuk mengikuti perkembangan semasa terutamanya yang berkaitan dengan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Peter kepada FMT.

Peter berkata sejurus mengetahui masalah penduduk berkenaan, beliau terus ke bank mengeluarkan wang untuk menyelesaikan kompaun penduduk berkenaan.

” Saya juga sempat menasihati mereka agar sentiasa mematuhi SOP pada masa akan datang…semoga pertolongan kecil ini akan meringankan beban penduduk yang terlibat,” kata beliau.

Seorang pengguna Twitter turut berjaya mengumpul dana RM8,000 untuk membantu penduduk terbabit.

Sementara itu, Lina Ramsah iaitu pengguna Twitter yang memulakan kutipan dana untuk membantu penduduk kampung terbabit, berkata, beliau terpanggil berbuat demikian selepas terbaca berita mengenainya pagi tadi.

“Saya rasa marah apabila mengetahui kejadian seperti ini berlalu dan pada masa sama, timbul rasa untuk membantu mereka kerana kalau semua orang marah, siapa yang mahu membantu mereka?

“Syukur juga kerana kutipan dana ini mendapat sambutan dan kami berjaya mengumpul RM8,000 yang pada mulanya untuk membantu membayar kompaun penduduk kampung berkenaan.

“Bagaimanapun, saya dimaklumkan kompaun itu telah diselesaikan Peter dan oleh sebab itu kami menukar rancangan asal, sebaliknya akan menggunakan duit terkumpul itu bagi membantu penduduk di kampung itu dari segi makanan,” katanya ketika dihubungi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.