`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 12, 2021

Kalaulah Umno ikut pelan

 

Saya mulakan dengan ucapan tahniah untuk Idris Ahmad yang berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden pada pemilihan PAS minggu lalu. Syabas.

Idris, pemimpin kanan PAS, seperti kita tahu ialah juga Menteri Hal Ehwal Agama dalam kerajaan pusat pimpinan Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden Umno.

Seperti kita semua juga maklum di PRN Melaka, PAS lawan Umno. Ini saya ulangi walaupun mungkin ramai yang bosan dengan “peringatan” sedemikian. Tetapi saya ulangi kerana ada yang menarik apabila bercakap mengenai pilihan raya Melaka dan khususnya Idris.

Menurut laporan FMT tiga hari lalu, Idris berkata PAS menyifatkan pertembungan partinya dengan Umno di Melaka sebagai “perlawanan persahabatan semata-mata”. Sebab? Hubungan Muafakat Nasional, katanya, berjalan seperti biasa.

Saya kata menarik kerana hujah dan “kejadian” berikut.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, dilaporkan mahu Umno kalah di Melaka supaya diberi pengajaran kepada parti pimpinan Ahmad Zahid Hamidi itu yang asyik dongak ke langit.

“Umno nampak lebih nak bolot harta dan kuasa dan sebagainya, dia sanggup khianat kawan,” berkata pula perwakilan Muktamar PAS dari Ipoh, Aziz Abdullah, kepada FMT tempoh hari.

Namun bagi ramai orang Umno, PAS lah yang mengkhianati Umno dan Muafakat Nasional. Malah pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah menuduh PAS “pelacur politik”.

Bukankah semua itu kata-mengata, tuduh-menuduh, serang-menyerang yang memanaskan keadaan walaupun ada antara kenyataan itu dibuat sebelum timbul masalah yang memaksa PRN diadakan di Melaka.

Meskipun berlatarbelakangkan “serang-menyerang” itu, bagi Idris pertembungan PAS-Umno di Melaka ialah “perlawanan persahabatan”.

Nampaknya Idris mempunyai definisi tersendiri apa itu “pertembungan persahabatan”.

Berdasarkan satu lagi laporan FMT, rasanya rakyat Melaka tidak sependapat dengan beliau kerana sebahagian besar pengundi gelisah akan bertembungnya Barisan Nasional (Umno) dengan Perikatan Nasional (PAS dan Bersatu yang dianggotai ramai bekas orang Umno).

Walaupun ada perang mulut antara PAS dengan Umno, Idris seperti pemimpin tertinggi lain partinya masih bertegas hubungan Muafakat Nasional berjalan seperti biasa.

Mungkin itu untuk menunjukkan “keikhlasan” mahu berbaik-baik dengan Umno dan mahu Muafakat Nasional terus hidup. Bagaimanapun ramai juga, sama ada pemerhati politik mahu pun dalam kalangan Umno, percaya itu semua bagai satu sandiwara dan drama.

Adakah PAS tidak boleh “move on”? Umno jelas boleh. Hampir semua pemimpinnya menerima realiti PAS menolak parti mereka untuk bersatu dengan Bersatu – apa yang jelas berlaku di Melaka. Malah Tengku Razaleigh awal November lalu menegaskan Muafakat Nasional “sudah lama mati tak ada kubur”.

Baru-baru ini Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, berkata keputusan PAS untuk bersama Bersatu dan mengenepikan MN di Melaka bererti “MN hanya tinggal nama”.

Ramai dalam Umno setuju. Hanya Annuar Musa yang kata hubungan MN serta BN-PN “tidak terjejas” walau bertembung di Melaka.

Annuar sememangnya pro-Bersatu dan dilihat anggota kumpulan yang tidak sebulu dengan tim presiden. Soal puak dalam Umno kita cakap kemudian.

Berbalik kepada Khaled Nordin, beliau juga dilapor berkata keputusan PAS bertanding bawah lambang PN di Melaka membuka laluan kepada BN kembali ke jalan “kesederhaan, kepelbagaian budaya, dan progresif”.

Khaled bercakap dalam konteks BN, bukan Umno semata-mata, walau partinya yang dominan dalam gabungan itu kerana “Umno sedar laluan kemenangan memerlukan sokongan semua kaum dan bukan hanya orang Melayu”.

Kata beliau lagi “bergabung tenaga dengan parti Melayu bukan satu-satunya cara untuk menguasai kerajaan”.

Memang tepat apa yang beliau katakan itu. Cuma yang ingin ditanya – tidakkah semua itu diambil kira dan diberi perhatian ketika Umno menjalin hubungan intim dengan PAS dan menubuhkan MN pada 2019?

Bukankah Umno tidak keberatan dikenali dengan PAS sebagai parti “Melayu Islam” yang “menjalin ukhuwah demi perpaduan ummah”? Umno juga bertindak seakan-akan mengabaikan MCA, MIC, dan PBRS (itu sahaja yang tinggal dalam BN) seolah-olah mereka parti penumpang? Pemimpin Umno ketika itu yakin permuafakatan dengan PAS amat cukup untuk mereka mencapai kejayaan.

Imbas kembali kekalahan BN-Umno pada PRU14. Kepimpinan Umno senada menegaskan parti mereka perlu digembleng semula. Mesti dibersihkan daripada elemen negatif. Mesti ada penjenamaan semula untuk menghadapi cabaran mendatang dan memenangi PRU15 lantas merampas semula kuasa yang hilang.

Semua dalam Umno bertekad mahu lakukan itu. Sememangnya itu sesuatu yang bagus dan patut dilaksakankan. Walaupun ia bukan jaminan 100% parti akan menang.

Tidak lama kemudian Umno menubuhkan MN bersama PAS. Sekali lagi walaupun bukan “guarantee” akan memenangkan mereka, itu langkah ke hadapan walau diakui 1,001 masalah wujud.

Namun, timbul pula suara pemimpin tertinggi Umno menyatakan mereka yakin akan berkuasa semula dengan cepat tanpa perlu tunggu PRU15. Ini kedengaran sebelum Langkah Sheraton tercetus. Maknanya sudah ada perancangan untuk ambil jalan singkat untuk berkuasa.

Jelas untuk tunggu empat atau lima tahun bagi PRU diadakan tempoh terlalu lama.

Februari 2020 berlakulah Langkah Sheraton dan kita semua sudah maklum apa yang terjadi. Tidak perlu dihuraikan. Hanya ingin diperingatkan Bersatu ketika itu tidak bersatu.

Seterusnya, Umno juga tidak bersatu walaupun masih memulakan lagu parti dengan “Bersatu kita bersatu”. PAS dapat untung. Begitu juga serpihan PKR.

Umno berpuak-puak sehingga ke hari ini. Tidak ada petunjuk keadaan akan reda. Umno tidak stabil walaupun Naib Presidennya Perdana Menteri.

Bagi saya, jika Umno ikut apa yang mereka awal-awal rancang ketika kalah PRU14 ia tidak akan berada dalam situasi kusut dan kalut yang dialami masa kini.

Saya berpandangan Pakatan Harapan sepatutnya dibenarkan menyelesaikan mandat yang mereka peroleh daripada rakyat pada 2018 dan biar rakyat tentukan nasib gabungan itu pada PRU15.

Umno yang mengemudi Barisan Nasional akan “solid” jika penjenamaan yang mereka rancangkan berhasil dan dipersembahkan kepada rakyat. Sama ada mereka akan menang tidak pasti tetapi Umno pasti satu kuasa yang tidak boleh dipandang enteng.

Malangnya, apa yang berlaku ialah Langkah Sheraton meletakkan negara dalam keadaan politik yang tidak menentu dan menyebabkan landskap politik tanah air berubah mungkin buat selama-lamanya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.