`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 4, 2022

Keputusan henti salur air kepada P Pinang bidang kuasa Perak, kata Menteri

 

Rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan bahawa negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak, menurut Tuan Ibrahim. (Gambar Bernama)

MUAR: Keputusan kerajaan Perak untuk tidak meneruskan bekalan air mentah kepada Pulau Pinang dibuat atas kapasiti bidang kuasa negeri berkenaan.

Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini disebabkan sumber air terletak di bawah urusan kerajaan negeri masing-masing, selain Perak juga telah menjelaskan berhubung keputusan itu.

“Menjelang 2035 dijangka ia (Perak) akan ada lebih kurang tiga juta rakyat dan oleh itu ia melihat keperluan dalam negeri yang perlu diutamakan dulu,” katanya selepas kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor bagi calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram malam tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, rundingan telah dibuat dan kerajaan Perak memaklumkan bahawa negeri itu memerlukan Loji Rawatan Air (LRA) yang besar di utara Perak.

Beliau berkata, perjumpaan bersama Menteri Besar Perak Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah diadakan bagi membincangkan tentang sumber bekalan air.

Beliau berkata, Pulau Pinang mempunyai rizab simpanan air tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 30% rizab margin berbanding negeri lain.

Tuan Ibrahim berkata, terdapat alternatif lain yang boleh dilaksanakan Pulau Pinang, antaranya dengan melakukan penerokaan baharu termasuk sumber air bawah tanah.

Semalam, Perak memuktamadkan untuk tidak membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti yang dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu tidak mencukupi sepenuhnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.