`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 1, 2023

Filem ‘Mentega Terbang’ bercanggah akidah Islam, kata menteri

 

Sedutan babak dalam ‘Mentega Terbang’ mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.

PETALING JAYA: Kandungan filem “Mentega Terbang” jelas bertentangan akidah dan cara kehidupan umat Islam tempatan, tegas Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar.

Justeru, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghantar laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) agar tindakan diambil terhadap filem kontroversi itu.

“Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga telah diminta untuk memanggil pihak-pihak yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam, lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular sedutan babak tertentu dalam filem itu yang memaparkan watak utama bernama Aisyah tanpa berselindung meminta daging khinzir daripada rakan bukan Islamnya untuk dimakan, selain bapanya membenarkan Aisyah keluar dari Islam dan memeluk agama lain.

Sedutan babak itu mengundang amarah di platform media sosial, dengan warganet mempersoalkan bagaimana filem itu dibenarkan untuk tontonan umum.

Na’im mengingatkan penggiat seni supaya lebih berhati-hati dalam menerbitkan karya mereka kepada masyarakat.

“Masyarakat juga dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih rancangan televisyen untuk tontonan seisi keluarga, sama ada di platform dalam talian mahupun mana-mana saluran agar tidak terdedah kepada unsur yang boleh menjejaskan akidah Islam.”

Mentega Terbang arahan Khairi Anwar ditayangkan di platform penstriman Viu atau aplikasi telefon pintar secara percuma sejak 19 Jan lalu.

Filem yang dibarisi pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jsebel Lee mengisahkan perjalanan seorang remaja mencari jawapan bagaimana kehidupan selepas kematian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.