PETALING JAYA: Seorang Adun DAP antara tiga muka baharu yang dilantik menganggotai kerajaan perpaduan Melaka.
Ini menjadikan exco Melaka terdiri daripada sembilan Adun Barisan Nasional dan seorang wakil rakyat Pakatan Harapan.
Ab Rauf Yusoh yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Jumaat lalu, mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.
Harian Metro melaporkan tujuh wakil rakyat yang dilantik semula sebagai exco Melaka ialah Adun Paya Rumput, Rais Yasin (Exco kanan bagi portfolio Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana), Adun Telok Mas, Abdul Razak Abdul Rahman (Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan), Adun Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh (Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan).
Adun Pengkalan Batu, Kalsom Nordin (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti), Adun Gadek, VP Shanmugam (Exco Belia, Sukan dan NGO), Adun Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan) dan Adun Ayer Molek, Rahmad Mariman (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama).
Tiga muka baharu bagi memantapkan struktur kerajaan Melaka terdiri daripada Adun Asahan, Fairul Nizam Roslan (Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital), Adun Ayer Limau, Hameed Mytheen Kunju Basheer (Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan) dan Adun Kesidang, Seah Shoo Chin (Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna).
Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam di Seri Negeri, Ayer Keroh pagi ini.
Dua exco yang digugurkan ialah Adun Serkam, Zaidi Attan (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar) dan Adun Rembia, Jailani Khamis (Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan). - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.