Bertanya seorang kawan lama kepada saya tempoh hari: “Brader, bila dia orang ni nak turun”? Siapa? tanya saya. Isteri kawan saya yang jawab. “Anwar Ibrahim,” katanya.
“Mengapa? Bukankah dia OK? Buat kerja dengan baik,” respons saya. Lalu berkata kawan saya, “his ministers lah some not doing well.” Aaah. Jadi masalahnya menteri bukan Anwar, begitu? “Ya,” kata kawan saya. Saya setuju tetapi untuk berlaku adil perlu ditegaskan ada menteri yang OK dan ada yang tak OK, atau tak berapa OK.
Baru empat bulan (lebih kurang) Anwar menjadi perdana menteri dan dalam waktu singkat itu tidak dapat dinafikan banyak perkara yang sudah dan sedang dilakukan demi kebaikan negara. Ini fakta yang diakui golongan “neutral” dan juga lawan yang mungkin mengakui secara diam. Apa kata kawan Anwar tidak perlu ditanya.
Saya tidak bercadang huraikan satu persatu apa yang dilakukan sehingga kini. Rasanya ia boleh dilihat sendiri oleh khalayak. Ada reformasi yang dijanjikan sudah dibuat walaupun diakui ada yang belum. Gesaan, desakan, permintaan sedang disuarakan pelbagai lapisan rakyat yang mahu itu dan ini. Pembangkang apa lagi. Kritik dan kecam diizinkan kerana ada kebebasan bersuara. Hakikatnya gesaan dan desakan serta tuntutan hanya membuktikan rakyat menaruh harapan tinggi terhadap perdana menteri. Ertinya ramai yang percaya Anwar boleh diharapkan. Boleh “deliver”.
Kata Murray Hunter, kolumnis FMT, Anwar menunjukkan beliau simbol untuk orang beri tumpuan. Simbol harapan, kata Hunter. Dalam lain perkataan Anwar teladan dan harapan untuk negara. Itu kata Hunter. Kekuatan utama Anwar ialah keazaman dan kegigihan yang kuat. Anwar tidak menyerah kalah. “Beliau juga ada tenaga yang hebat. Berusia 75 tahun beliau seolah-olah tidak tidur. Anwar punya dorongan 24/7, sesuatu yang ramai tidak larat lakukan.”
Kata Hunter, “put the right forces behind him and Anwar will be able to achieve great things for Malaysia.” Hunter melihat Anwar bagai seorang pengerusi lembaga pengarah cuma lembaga itu Jemaah Menterinya. Jika Awanr punya jemaah yang “tight knitted” dan selaras beliau akan muncul sebagai perdana menteri yang cukup hebat.
Namun menurut Hunter buat masa ini Jemaah Menteri Anwar sedang “stumbling” atau tersadung dan tersekat-sekat. Bagi Hunter, dalam beberapa keadaan Anwar seolah percaya “the wrong people”. Mungkin inilah yang dimaksudkan kawan lama yang saya ceritakan di awal artikel ini.
Beralih kepada satu laporan siaran The Malaysian Insight baru-baru ini. Ia menarik perhatian saya kerana penganalisis berkata usaha yang dilakukan perdana menteri masih belum cukup kuat untuk meraih kembali sokongan pengundi Melayu. Saya guna istilah ‘menarik’ kerana Anwar diketahui umum memperjuangkan nasib orang Melayu sejak zaman beliau ketua mahasiswa lagi. Sejak jadi perdana menteri beliau banyak mengumumkan insentif dan serta bantuan kepada golongan pendapat rendah termasuk bantuan tunai kepada golongan petani dan nelayan yang majoritinya orang Melayu. Ini semua dirakam untuk pengetahuan ramai. Fakta bukan omong kosong.
Masih tidak mencukupi? Belum cukup kuat? Jika ya, ertinya Anwar memerlukan bantuan dan kita tahu antara yang diharapkan untuk bantu usaha mendapatkan sokongan pengundi Melayu ialah Umno. Namun Umno sendiri tercemar. Realitinya Anwar dan Pakatan Harapan lah yang mendedahkan “dosa” Umno. Ingat lagu “hoi ya hoi penyamun“? Cukup popular pada kempen PRU15 dulu dan mempunyai kesan.
Itu cerita dahulu. Cerita sekarang Umno ada dalam kerajaan perpaduan. Mengapa dan bagaimana tidak perlu ditanya lagi kerana semua sudah maklum. Persoalannya bolehkah Umno memainkan peranan yang diharapkan? Untuk membantu Anwar dan kerajaannya? Bolehkah Umo menjustifikasikan kedudukan mereka dalam kerajaan?
Seperti dikatakan tadi Umno tercemar dan imejnya belum pulih. Ramai yang masih sangsi dan sekarang kebimbangan yang timbul dalam kalangan ramai secara am ialah Umno dapat apa-apa dihajatinya. Minta dan dapat. Kerana ‘jasa’ mereka yang membolehkan kerajaan perpaduan ditubuhkan. Maksudnya Anwar terpaksa beri apa Umno mahu. Betul ke?
Contoh: Pelantikan beberapa pemimpin Umno untuk jawatan tertentu yang dilihat ‘lumayan’ meskipun bukan dalam kerajaan secara langsung. Ada individu ‘kontroversi’ yang dilantik. Umum tahu siapa mereka. Kini terbit pula permohonan Umno untuk mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong untuk Najib Razak. Kata Muhyiddin Yassin, pengerusi Perikatan Nasional, Umno menggunakan “desakan politik” dalam usaha mendapatkan pengampunan diraja untuk bekas presidennya.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas kemungkinan penglibatan Anwar dalam permohonan Umno itu.
Untuk pendekkan cerita yang panjang. Anwar ‘terhutang budi’ kepada Umno untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15 November lalu. Betul. Tetapi Umno pula tidak boleh mengancam atau “hold the government to ransom”. Anwar kena tarik rambut dalam tepung nampaknya. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.