`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, April 12, 2023

Bila kita raya?

 

Semasa saya tulis artikel ini saya baru baca laporan bahawa Kementerian Pendidikan mengumumkan 19 April 2023 cuti khas tambahan bagi semua sekolah sempena sambutan Aidilfitri minggu depan. Maka bertambah kuatlah orang percaya raya akan disambut sehari awal daripada apa yang dicatat sebelum ini. Terdahulu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan menggesa KPM memberi cuti khas untuk guru pada 19 April kerana Aidilfitri dijangka jatuh pada 21 April.

Kalau ikut kalendar dan senarai cuti am rasmi, Aidilfitri jatuh pada 22 April tetapi sejak minggu lalu lagi kita sudah dengar orang tertanya-tanya bila sebenarnya hari raya, malah ada yang yakin 21 April tarikh Aidilfitri. Mengapa jadi kekalutan ini?

Maaf jika ‘kalut’ kasar untuk digunakan. OK lah, paling tidak ‘kelam kabut’. Mengapa begini jadinya? Sebab apa yang berlaku raya tahun lalu. Tak perlu dihuraikan. Masih “fresh in our mind”.

Masa saya budak-budak dulu keputusan menetapkan tarikh Ramadan dan Syawal dibuat dengan tengok anak bulan. Dilakukan di beberapa tempat oleh pegawai agama dan ahli falak. Tempat paling “famous” Teluk Kemang, Port Dickson. Kalau nampak ertinya esok puasa atau raya. Tak nampak puasa atau raya hari berikutnya. Simple.

Tetapi waktu itu mungkin kerana sistem komunikasi belum canggih maka pengumuman anak bulan melalui radio (dan TV kemudian) dibuat lewat. Dalam 11 malam. Oleh itu, untuk tahu bila bermula Ramadan orang masjid kena tunggu selepas sembahyang isyak hingga lewat malam. Jika diumum keesokannya mula puasa, maka jemaah akan mendirikan tarawih di masjid bermula 11.30 malam. Lebih kurang macam itu.

Untuk menyambut hari raya pula, semua orang “excited” tunggu nampak atau tidak anak bulan Syawal. Jika diumumkan anak bulan kelihatan, maka ramai yang masuk “gear” untuk meneruskan persiapan. Di rumah saya di Kampung Bharu, masak rendang dan kacau dodol dimulakan selepas dapat pengumuman. Maknanya kerja beres hampir waktu Subuh 1 Syawal kerana emak saya “insist” semua hidangan mesti “freshly prepared”.

Jika anak bulan Syawal tidak kelihatan pun tak ada masalah. Puasa lah “one more day”. Pun begitu timbul juga kontroversi. Seingat saya ada kampung atau kawasan tertentu di Pantai Timur yang ikut kiraan sendiri yakni yang ditetapkan imam dan sebagainya. Penduduk setempat beraya pada tarikh lain daripada tarikh rasmi.

Ada juga pada satu tahun (tak ingat tahun apa), Singapura menyambut hari raya satu hari awal daripada Malaysia. Dikhabarkan ramai juga orang Johor yang turun ke Singapura untuk beraya dan pada malamnya pulang ke Johor untuk sambut Aidilfitri di Malaysia keesokkan hari.

Sekarang Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin menyuarakan ‘kebimbangan’ jika Thailand raya awal, orang Perlis akan seberang sempadan masuk melalui Padang Besar untuk beraya di sana. Beliau berseloroh sambil menekankan betapa penting semua negara rantau ini bersepakat menentukan tarikh 1 Syawal. Nanti kita cerita mengenai Asri sebentar lagi.

Untuk menghentikan kekeliruan dan kekalutan, kerajaan (pada lewat 1960-an atau awal 1970-an) memutuskan tarikh mulanya Ramadan dan menyambut Syawal ditentukan dengan kaedah kiraan dan keputusan mesti dipatuhi semua negara Asean kerana semua terletak pada zon yang sama.

Tidak lama kemudian Malaysia menggunakan kaedah berdasarkan rukyah dan hisab. Ertinya tengok anak bulan dan juga kiraan. Pada pemahaman saya, ini bermakna jika mengikut kiraan Ramadan atau Syawal akan jatuh pada waktu dan hari tertentu tetapi pasukan pegawai yang meneropong tidak nampak anak bulan, ia tetap dianggap ‘kelihatan’. Maka lazimnya dulu (sehingga tahun lalu) tarikh puasa dan hari raya yang diumumkan sama seperti dicatat pada kalendar.

Pandangan peribadi saya, apa perlu pergi tengok anak bulan jika keyakinan penuh diletak pada kiraan? Sebab kalau pun tidak nampak tetap akan dianggap ‘nampak’ berdasarkan kiraan. Ini isu falak bukan isu agama.

Apa pun, bermula tahun lalu menurut Asri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggunapakai kriteria baharu dalam kiraannya dan itulah yang digunakannya sekarang.

Penceramah terkenal, Kazim Elias, pula berkata kaedah rukyah ini bukan pertama kali digunakan sebaliknya sudah berdekad lama. “Kenapa tahun ini orang riuh rendah sangat berhubung 1 Syawal, bezanya hanya satu hari. Kalau kita tak raya Jumaat kita tetap akan raya Sabtu,” katanya dipetik Harian Metro 9 April lalu.

Ads by Kiosked

Bagi saya, itu agak simplistik. Ia bukan sekadar ‘beraya’. Orang riuh rendah kerana membabitkan bermacam hal dan perancangan. Riuh rendah bukan timbul tahun ini sahaja. Ingat tahun lalu?

Apa pun, kata Kazim, masyarakat usah kalut dan serahkan kepada autoriti agama. “Jangan pula kita marahkan autoriti agama kerana kita ada prosedur dan kriteria,” kata beliau.

Menurut saya, itulah yang dilakukan orang ramai iaitu menyerahkan kepada autoriti agama. Rata-rata orang tidak marah atau salahkan autoriti agama. Cuma keliru.

“Tarikh yang ditetapkan dalam kalendar hanya tarikh anggaran dan keputusan akhir terletak pada pemegang mohor besar Raja-raja,” kata Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia, Izhar Ariff Mohd Kassim

Baru-baru ini ada laporan mengatakan Aidilfitri di Emiriah Arab Bersatu akan disambut pada Jumaat 21 April berdasarkan kiraan pusat astronominya. Ia tular dan mungkin ini antara penyebab tercetus persoalan bila raya di Malaysia.

Kata Rektor Akademi Falak Malaysia, Shahrin Ahmad, setiap negara berbeza penentuan serta kriteria kenampakan anak bulan “dan kita tidak boleh menyamakan setiap negara itu mempunyai kaedah yang sama.”

Benar. Namun dalam konteks Malaysia dan kekeliruan yang timbul sekarang, saya setuju dengan gesaan Asri supaya Jakim menyemak semula kriteria yang mereka gunakan kerana kriteria mereka, kata beliau, menimbulkan kekeliruan tahun lalu dan tahun ini.

Saya tidak mengakhiri artikel ini dengan ucapan Selamat Hari Raya. Masih terlalu awal untuk diucapkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.