PETALING JAYA: Meskipun ada yang mengkritik ugutan doktor kontrak untuk mogok selama tiga hari, namun masih ada yang bersimpati dengan nasib mereka.
Rata-rata orang ramai berpandangan suasana pekerjaan dan tekanan dihadapi doktor kontrak wajar dipertimbangkan untuk terus menyerap mereka dalam perkhidmatan awam.
Pesara kerajaan, Julina Saimin, 53, berkata doktor kontrak ada hak untuk mendapatkan jaminan pekerjaan dan diserap menjadi penjawat awam.
“Kita semua sudah sedia maklum bahawa sangat sukar untuk menjadi seorang doktor dan mereka sangat wajar diserap sebagai doktor tetap.
“Mereka juga mempunyai komitmen masing-masing, tidak kira doktor tersebut bujang ataupun sudah berkeluarga,” katanya kepada FMT.
Katanya, doktor kontrak sama seperti doktor lantikan tetap, berhempas pulas menyambung pengajian dalam subjek kritikal, namun akhirnya hanya bergelar “doktor kontrak”.
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 8,000 doktor kontrak merancang mengadakan mogok selama tiga hari di seluruh negara bermula semalam hingga esok kerana dikatakan kecewa dengan sistem tidak adil dan gaji rendah dalam sektor penjagaan kesihatan awam.
Melalui akaun Instagram “Mogok Doktor Malaysia”, mereka merancang mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan, namun tidak membabitkan sebarang perhimpunan.
Mereka juga mencadangkan pesakit ke klinik, jika ingin mendapatkan rawatan, bukannya ke mana-mana hospital kerajaan, jika enggan menunggu lebih lama bagi mendapatkan rawatan.
Pereka grafik yang hanya mahu dikenali sebagai Ezekiel, 26, berkata keputusan mengadakan mogok adalah hak peribadi doktor kontrak.
Namun katanya, tindakan itu perlu ada batas supaya tidak menjejaskan pesakit yang memerlukan rawatan.
“Doktor juga ada hak mereka yang perlu diperjuangkan, tetapi mereka juga harus mempertimbangkan keadaan pesakit. Kerajaan perlu ambil tindakan bagi menyelesaikan isu (yang dituntut) doktor mogok ini.”
Pembantu sumber manusia yang mahu dikenali sebagai Liyana berpandangan, ugutan mogok doktor kontrak sangat tepat.
Katanya, dia memahami dilema dihadapi pegawai perubatan kontrak memandangkan enam ahli keluarganya bekerja sebagai doktor.
“Sepupu saya meletak jawatan daripada KKM (Kementerian Kesihatan) kemudian bekerja sebagai doktor di luar negara.
“Adalah wajar bagi doktor mengambil tindakan mogok seperti itu bagi menarik perhatian kerajaan agar lebih nampak hak doktor.”
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa sebelum ini menegaskan, pihaknya memahami kesukaran dihadapi doktor kontrak, namun mogok bukan penyelesaiannya.
Katanya, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak dengan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.