`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, April 19, 2023

Jangan buta sejarah

 

Oleh kerana saya sendiri tidak mengikutinya secara “live”, saya petik laporan Harakahdaily kerana organ rasmi PAS itu tidak akan salah lapor apabila membuat liputan pemimpin PAS. Maksudnya, apa yang dicakap pemimpin PAS itulah yang disiar organ rasmi PAS. Boleh kata secara bulat-bulat.

Saya bercakap mengenai pertanyaan yang ditimbulkan Ahli Parlimen PAS kawasan Maran, Ismail Muttalib, pada sidang Dewan Rakyat 15 Februari lalu. Ismail dilapor meminta kerajaan menjelaskan sama ada idea-idea komunis masih wujud di kampung-kampung baharu. Beliau mengemukakan soalan itu kepada menteri dalam negeri.

Langkah Ismail itu turut disiar beberapa portal berita dan ia mendapat reaksi negatif majoriti pembaca. Rata-rata Ismail dikritik ramai yang melihat soalannya berbaur perkauman sekaligus Ismail dituduh rasis. Saya tidak dapat elak daripada bersetuju dengan pendapat dan pandangan umum. Ismail merujuk kampung baharu yang penduduknya masyarakat Cina. Walaupun beliau ‘sekadar’ bertanya, pada hemat saya beliau mengaitkan orang Cina dengan komunis secara sengaja atau sebaliknya, sedar atau tidak.

Beliau membuat kaitan berkenaan 34 tahun setelah perjanjian damai ditandatangani kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM). Komunisme sendiri sudah lama luntur di seluruh dunia. Kesatuan Soviet jatuh pada 1991 dan fahaman komunis di China sudah berubah dan dilihat memeluk kapitalisme, yang pada suatu masa dahulu dianggap musuh rakyat. Maka soalan yang dilontar Ismai paling tidak dilihat sebagai pelik.

Kampung baharu yang beliau maksudkan “Chinese new village” iaitu penempatan yang dicipta pada zaman pemerintahan Inggeris bermula 1950. Kampung baharu sebahagian daripada rancangan Harold Briggs, pengarah operasi tentera British di Tanah Melayu, dan dilancar Henry Gurney, pesuruhjaya tinggi British di Malaya.

Tujuan asal penubuhan kampung baharu ialah memisahkan penduduk berbangsa Cina daripada mempunyai hubungan dengan Tentera Pembebasan Rakyat Malaysia yang diterajui PKM. Menurut sejarawan tentera British, John Newsinger, penduduk yang dipaksa tinggal di kampung baru secara “efektif dilucut semua hak sivil”. Itu secebis sejarah negara. Ismail bagaimanapun mendakwa tahu sejarah. Katanya, pertanyaan beliau diaju kerana, seperti dipetik Harakahdaily, “kebanyakan kampung baharu asalnya dibentuk bagi penempatan semula golongan yang terlibat dengan komunis.”

Walaupun diakui ada penduduk kampung baharu yang bersimpati dan menyokong komunis, malah ada menjadi ejen PKM, ada juga yang dipindahkan untuk menyelamatkan mereka daripada ancaman komunis. Saifuddin Nasution selaku menteri dalam negeri menjelaskan idea Inggeris memindahkan penduduk Cina dari penempatan kecil yang berselerak di pinggir hutan ke kampung baharu ialah untuk mengelakkan komunis mengancam atau menerima bantuan atau maklumat daripada penduduk. Oleh itu, berpandu semua fakta yang dihurai saya fikir pemahaman Ismail mengenai sejarah agak tidak lengkap.

Setelah dikritik kerana membangkit isu berbaur perkauman dan meghasut, Ismail mempertahankan tindakannya dengan berkata soalan beliau bangkitkan “berdasar pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan”.

Ads by Kiosked

“Jadi saya tidak mahu tanggapan bahawa masih ada komunis di kampung-kampung baharu berlarutan,” beliau dipetik Malaysiakini sebagai berkata. Namun Ismail tidak memberitahu siapa yang membuat tanggapan demikian. Bagi saya, Ismail tidak yakin komunis sudah tidak wujud di kampung baharu.

Selepas kemerdekaan, sesebuah kampung baharu Cina diselia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ketua kampung dilantik bagi mengetuai jawatankuasa kampung sama seperti kampung Melayu iaitu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau JPKK. Menurut Wikipedia, kampung baharu mempunyai tiga kategori iaitu kampung yang diwujud semasa darurat, kampung rangkaian yakni penempatan masyarakat Cina di pinggir bandar, dan kampung bagan menempatkan masyarakat Cina yang bekerja sebagai nelayan.

Ringkasnya, kampung Cina sejak tamatnya darurat sehingga masa kini seperti penempatan rakyat berbilang bangsa sedia ada. Jika ada pun masalah keselamatan adalah masalah sama pada tahap sama yang berlaku di semua kampung, penempatan, serta taman perumahan dengan penduduk pelbagai bangsa.

Ada lagi yang ditimbul Ismail. Beliau juga berkata penduduk kampung baharu tidak bergaul dengan masyarakat luar dan oleh itu mesti berasimilasi dengan masyarakat sekeliling. Jadi apa sebenarnya isu yang cuba beliau ketengahkan? Komunis masih wujud atau masyarakat Cina kampung baharu tidak bergaul dengan bangsa lain? Kedua-duanya ‘masalah’ berbeza dan jika wujud memerlukan penyelesaian berbeza.

Masyarakat bukan Melayu terutama orang Cina sememangnya gusar, takut, dan bimbang akan PAS yang mereka lihat ‘ekstrem’. Apa yang Ismail berjaya lakukan ialah membuat orang Cina semakin menjauhi partinya.

Lalu pertanyaan yang terbit ialah mengapa Ismail mengemukakan soalan yang ramai anggap pelik?

Ads by Kiosked

A) Beliau sekadar membuat kelakar
B) Beliau sememangnya kelakar orangnya
C) Beliau sebenarnya bercakap mengenai Kampung Baru Kuala Lumpur
D) “None of the above”

 - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.