PETALING JAYA: Lelaki disyaki pengedar dadah ditembak mati selepas melanggar dua anggota polis yang cuba menahannya di Jalan Plum Oil Industrial Cluster (POIC) Phase 2, Lahad Datu, semalam.
Terdahulu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu menahan Perodua Viva dipandu seorang lelaki untuk pemeriksaan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah pada 11.45 pagi.
Ketua Polis Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata suspek tiba-tiba mengundur keretanya dengan agresif dan melanggar seorang anggotanya.
Katanya, suspek kemudian membuat pusingan U dan memecut keretanya melawan arus, sebelum melanggar seorang lagi anggota polis yang cuba menghalangnya.
“Bagaimanapun, anggota terbabit sempat melepaskan tembakan ke arah kereta suspek bagi tujuan mempertahankan diri sebelum dilanggar.
“Suspek memecut keretanya kerana cuba melarikan diri daripada ditahan pasukan serbuan dan kemudian dilihat terbabas pada jarak 400m dari tempat kejadian,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati warga tempatan berusia 28 tahun itu tidak sedarkan diri dan terbaring di tempat duduk penumpang sebelah kiri dan dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas dadah disyaki syabu seberat 7.45g bernilai RM1,490, dua (pedang) samurai dan Perodua Viva itu.
“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah narkotik dan komersial.”
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba bunuh dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan pengedaran dadah. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.