`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Saturday, April 1, 2023

Mana Ayah, kami lapar

 


Ayah bukan nama besar pun. Ayah juga tak ada kedudukan dalam masyarakat. Tiada gelaran kebesaran. Cuma Ayah punya hati besar. Itu sebab Ayah berbeza daripada insan lain.

Sehari Ayah tidak muncul, ramai yang menderita. Yang sakit menjadi lebih perit, yang lapar menjadi lesu, yang rindu menjadi lebih sayu.

Ayah atau Abang Hae figura penting dalam komuniti gelandangan di Chow Kit, Kuala Lumpur. Macam penghulu tetapi tanpa tauliah. Pejuang masyarakat, pembela rakyat yang melarat.

Orang macam Ayah tidak mendapat simpati pihak berkuasa sebab usahanya menggalakkan gelandangan. Mereka dikatakan jadi malas untuk keluar dari kelompok ini sebab selalu diberi bantuan makanan.

Ayah sebenarnya perantara golongan gelandangan ini dengan NGO yang mahu menyalurkan bantuan kerana Ayah faham sasaran yang betul-betul memerlukan.

Pihak berkuasa menjenguk kawasan ini apabila ada laporan bahawa golongan penghuni lorong mengganggu ketenteraman awam.

Tetapi ramai yang tidak tahu berapa yang lapar atau yang sakit, yang kehilangan keluarga, ditinggal begitu sahaja untuk “survive” sendirian.

Melihat jadual harian Ayah boleh membuat mata kita bergenang. Bukan sahaja menguruskan makan- minum mereka tetapi sehingga urusan bersalin ibu-ibu yang turut menjadi penghuni lorong-lorong di Chow Kit.

Dahulu Chow Kit jadi sarang penagih dadah dan pelacuran. Kini komunitinya meluas menjadi penempatan keluarga yang melarat, tidak mampu menyewa tempat tinggal, dan tiada kerja tetap.

Cuba turun padang dan lihat sendiri apa yang dilakukan mereka seperti Ayah. Barulah para pembuat dasar dapat gambaran jelas. Jangan hanya melaksanakan tugas penguatkuasaan sahaja.

Setiap hari “roll call”, Ayah memanggil nama-nama yang akan dihantar bekerja di tempat yang memerlukan. Walaupun ia cuma bersifat “odd job” tetapi ia cukup membantu.

Ayah bukan kerja bermusim. Beliau juga tidak ada agenda tersembunyi. Jadual kerjanya juga tidak menentu. Kadangkala dari subuh ke subuh.

Bulan lepas, Ayah sakit dan dimasukkan ke hospital. Anak-anak Ayah panik sebab Ayah tidak muncul berapa hari. Setelah muncul selepas tiga hari ‘hilang’, perkataan pertama terucap ialah “Ayah,kami lapar.”

Jangan biarkan mereka terus lapar. Ayah sendiri kelihatan semakin lelah. Tiap penghujung hari Ayah selalu berdoa agar diberi kesihatan untuk membolehkan dia terus membantu para penghuni lorong Chow Kit.

Jangan jadikan senario komuniti Lorong Chow Kit ini sebagai “content” sosial media tanpa peduli tanggungjawab sosial. Atau yang lebih hina lagi menjadi modal meraih populariti.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.