Mendengar lawan atau kawan? Inilah yang dihadapi oleh PMX atau Anwar Ibrahim. Logiknya, tentulah sesiapa pun akan bantu kawan, bukan lawan. Dalam situasi politik yang semakin getir, lawannya dulu menjadi makin penting dalam menentukan penerusan kuasa kerajaan perpaduan.
Yang paling banyak memberi peringatan kepada Anwar sekarang ialah Hassan Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang. Hassan menegur kerajaan Anwar jangan terlalu ghairah mendakwa pemimpin parti pembangkang ke mahkamah sebab ini akan dilihat sebagai pendakwaan politik terpilih oleh rakyat.
Rasuah harus dibanteras, kata Anwar. Sukar untuk mengelak daripada terkena sama ada pemimpin politik atau kroni mereka. Kalau terbukti bersalah di mahkamah mereka akan dihukum.
Hassan gusar jika Najib Razak diberi pengampunan dan kes Zahid Hamidi digugurkan. Katanya ia memberi kesan kepada perpaduan dalam PH.
Pada persimpangan ini akan timbul konflik pendapat yang ketara. Untuk berada sealiran dengan rakan seperjuangan atas dasar menyelamatkan parti, atau untuk “survival” kuasa dengan mengutamakan strategi politik?
Anwar tidak mahu sekali lagi diketepikan. Beliau sudah digelar perdana menteri. Masa menunggunya memakan masa yang lama. Perjuangan parti terpaksa mengakui perlunya ada “adjustment” tanpa menghakis kredibilitinya. Hassan takut rakyat beri tanggapan negatif.
Tugas perdana menteri, pada era mana pun bukan sesuatu yang “easy sailing”. Masalah ekonomi perlu dukungan kerajaan yang cekap. Kestabilan politik pula menghambat laju. “Balancing act” ini bukan mudah dilaksanakan. Takut terjerumus akibat berat sebelah.
Setiap minit, apa sahaja yang diumumkan oleh kerajaan jadi perhatian. Ia dijadikan modal pembangkang. Tiada yang menghairankan. Bukan baru pun dalam mana-mana kerajaan. Sesiapa pun tidak perlu cemas.
Dalam sesi bertemu rakyat, PMX sering mengungkap bahawa kerajaannya diserang setiap hari oleh pembangkang. Memanglah penat menangkisnya berseorangan. Seluruh Kabinet harus berfungsi menjawab apa sahaja bentuk persoalan dilontarkan pembangkang, dengan jawapan secocok dan tidak emosional.
Kalau pun Najib bebas diampun, kalau pun Zahid lepas daripada tuduhan-tuduhan di mahkamah, selagi ia menurut lunas undang-undang, kerajaan PMX masih boleh terus mentadbir.
Cuma “political repercussions” agak keras dan menonjol. Reaksi politik selalunya tidak kekal. Ia akan dimakan masa akibat daripada senario yang berubah-ubah.
Untuk kekal lama, PMX perlu memenangi hati rakyat, seluruhnya. Bukan menyerang semula, membuatkan mereka semakin jauh dari kerajaan perpaduan. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.