PETALING JAYA: Polis akan menjalankan Op Lancar pada 18 dan 19 April sempena cuti Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan aliran trafik di seluruh negara lancar.
Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, operasi itu tertumpu di kawasan dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, melibatkan lebuh raya, jalan negeri dan jalan bandar.
Tambahnya, polis trafik juga akan melaksanakan Op Selamat 20 selama lapan hari bermula 20 Apr bertujuan memastikan aliran trafik lancar, selain meminimumkan kes kemalangan jalan raya dan menjamin keselamatan premis kediaman.
“Op Selamat turut memfokuskan kepada pengurangan kadar jenayah harta benda seperti kes pecah rumah melalui unit peronda polis di taman perumahan, premis perniagaan dan pusat ibadat yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Bertemakan “Rumah Selamat, Sampai ke Destinasi”, Acryl berkata, pemantauan udara oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut dijalankan bagi memantau dan mengesan lokasi titik panas yang dikenal pasti, dan menyalurkan maklumat kepada anggota di lapangan untuk tindakan penyuraian trafik.
“Pengguna jalan raya diminta peka dengan informasi terkini berkaitan aliran trafik semasa melalui portal dan saluran rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuh raya,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.