`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 21, 2023

Sembang politik di Aidilfitri

 

Maaf jika anda rasakan tidak sesuai dilakukan apa yang tertera di tajuk artikel ini. Saya bagaimanapun berpendapat bukan lah kesalahan untuk bercakap mengenai politik pada hari raya. Apa pun anggap artikel ini luahan harapan atau suatu “hari raya wish” daripada seorang rakyat biasa yang mahu kebaikan untuk negara.

Saya mulakan dengan laporan Malaysiakini mengenai dapatan kajian yang dijalankan firma penyelidikan pasaran antarabangsa, Ipsos. Ini kira “feel good news” sesuai dengan mood Aidilfitri. Tinjauan terbaharu itu bertajuk “What worries Malaysia” atau apa yang membimbangkan Malaysia. Ia mendapati pandangan umum terhadap negara mula berubah menjadi lebih baik selepas pilihan raya pada November 2022 dan memuncak pada Januari 2023. “Selepas lima bulan dengan kerajaan baharu 2/3 rakyat Malaysia percaya negara berada di landasan yang betul,” kata pengarah urusan Ipsos Malaysia, Arun Meron, dan Iris Ng, pengurus penyelidikan hal ehwal awam Ipsos. Banyak lagi dapatan yang diumumkan tetapi saya tidak bercadang menghuraikannya. Yang berminat bolehlah membuat carian sendiri. Mahu dipertikai atau tidak setuju terserah tetapi itulah dapatan kajian.

Saya tidak ada sebab untuk tidak menerima baik hasil kajian berkenaan. Pun begitu, yang ingin saya nyatakan, ialah di negara ini terutama ‘sejak semenjak’ ini wujud banyak parti politik. Terlalu banyak pada pandangan saya. Ini memuramkan hasrat melihat wujud sistem dua parti. Untuk sekian lama, ramai penganalisis, pemerhati, serta pakar politik berkata sistem dua parti boleh menjamin kestabilan pentadbiran mana-mana kerajaan yang memerintah. Panjang lebar penjelasan mereka yang tidak perlu saya ulangi. Cukup untuk menyimpulkan mereka sepakat bahawa sistem itu bagus untuk negara.

Perubahan ke arah itu pernah dilakukan. Contoh PRU8 1990. Dua blok pembangkang utama iaitu APU atau Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat berganding menentang Barisan Nasional. Percaturan itu menyaksikan APU menawan Kelantan. Satu lagi contoh pada PRU12 2008. Tiga parti pembangkang besar yakni PKR, DAP, dan PAS menubuhkan apa yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Gabungan itu menafikan BN kemenangan majoriti 2/3 pada peringkat persekutuan di samping merampas Pulau Pinang, Selangor, Kedah, dan Perak serta kekal memerintah Kelantan.

Ketika itu ramai menjangka langkah ke arah sistem dua parti akan bergerak pantas. Namun ada banyak parti kecil yang dipanggil ‘parti nyamuk’ seolah tidak berminat. Pendekkan cerita sistem dua parti tidak kesampaian.

Sekarang ada lebih banyak parti. Sejak kebelakangan ini kita kerap saksikan apabila pemimpin dan pasukannya sudah tidak sehaluan dengan parti yang dianggotai, mereka bertindak tinggalkan parti tetapi jarang menyertai parti lain. Sebab menyertai parti lain akan meletakkan mereka sebagai ahli biasa pada hal mereka sudah terbiasa berjawatan tinggi dalam parti asal.

Penyelesaiannya? Tubuh parti baru yang mereka boleh jadi presiden dan kawan setia jadi pemimpin kanan. Ada juga keadaan apabila pertikaian berlaku dalam parti baharu, pihak yang menubuhkannya dahulu bertindak keluar dan tubuh satu lagi parti baharu. Situasi sekarang kita ada Pakatan Harapan yang “solid”. Ada BN yang tidak sekuat dulu malah mengecil dengan kurangnya komponen. Ada juga blok Borneo. Walaupun bergabung untuk menubuhkan kerjaan perpaduan umpamanya, ada parti yang bergerak seakan solo dan “independently”.

Ada juga Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional yang “diperkuat” parti tidak kuat seperti Gerakan. Mereka juga nampak agak “solid”. Itu bukan isunya. Soalannya seperti dikatakan tadi, masih ada banyak parti kecil. Malah ada NGO yang persis parti politik siap dianggotai politikus dan bekas politikus yang masih minat politik.

Harapan saya pada hari raya ini agar tidak lama lagi dapat diwujudkan sistem dua parti. Mungkin menjelang PRU16?

Bercakap pula mengenai Muda atau Malaysian United Democratic Alliance. Ia bergerak sendirian walaupun cenderung kepada PH. Muda sudah lama mahu menyertai gabungan itu. Lama sebelum PRU15 tahun lalu sebenarnya. Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dikatakan sudah menulis surat rasmi beberapa kali tetapi belum ada respon daripada PH.

Bagaimanapun kata Adam Adli, ketua Pemuda PKR, kelewatan bukan kerana ada bantahan dalam PH sebaliknya kerana permohonan Muda mesti melalui proses dalaman yang sehingga kini belum selesai.

Ada pemerhati politik yang syak permohonan Muda masih belum ada keputusan kerana ada pihak dalam PKR yang tidak ghairah menerima Muda dalam PH. Ini kata mereka mungkin disebabkan pihak tertentu melihat Muda bagai ancaman di samping tidak rela melepaskan kawasan “traditional” untuk dipertanding Muda pada PRU mendatang.

Bagi Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, Mohd Fauzi Fadzil, Muda jangan mendesak kerana ia “tidak membawa nilai kepada PH”. Benar ramai yang menganggap Muda ialah Syed Saddiq semata-mata. Tetapi ada pemimpin lain dalam Muda yang belum ada kesempatan untuk menonjol. Untuk menyifatkan Muda tidak bawa “added value” kepada PH adalah tidak adil, keterlaluan, dan angkuh. Harapan saya di hari raya ini masalah itu diatasi secepat mungkin dan sebaik mungkin.

Satu lagi harapan raya ialah agar Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Khairy Jamaluddin serta Syed Saddiq mengenepikan perbezaan dan bergabung. Disertai juga pemimpin muda DAP seperti Steven Sim dan Hannah Yeoh. Ramai lagi sebenarnya. Ini bukan mengenai memperkuatkan PH atau kerajaan. Ini lebih besar. Ini mengenai menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk negara.

Saya mengajak anda “berimaginasi”. Seperti John Lennon pernah ajak menerusi “Imagine”, lagu klasik ciptaannya. Mungkin anda tuduh saya seorang yang hanya bermimpi tetapi bak kata Lennon “you may say I’m a dreamer but I’m not the only one”. Sesungguhnya saya yakin saya tidak keseorangan.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua. Maaf Zahir dan Batin. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.