`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 21, 2023

Suara-suara deras di Kedah

 

Kalau di Kedah, deras atau ‘deraih’ bukan sahaja bermakna laju tetapi juga kuat. ‘Sembang deraih’ boleh bermaksud sembang kosong. Di Kedah, yang sembang paling ‘deraih’ sekarang Menteri Besar Sanusi Md Nor. Itu yang mahu digambarkan oleh pemimpin pembangkang negeri, BN dan PH, bahawa Sanusi cuma pandai ‘gebang’ tetapi tak buat apa pun untuk kebajikan rakyat.

Mahfuz Omar, pemimpin Amanah yang kalah teruk di Parlimen Pokok Sena, yang suaranya sama ‘deraih’ dengan Sanusi meminta rakyat Kedah jangan jadi macam rakyat Kelantan yang terus mengundi PAS walaupun terus berhadapan masalah air.

Rasanya Syarikat Air Darul Aman, pihak berkuasa air di Kedah, sudah buat reformasi. Sudah pun catat keuntungan. Sudah ada peruntukan untuk tingkatkan perkhidmatan air negeri. Mahfuz kena cari modal lain untuk menarik semula sokongan rakyat kepada PH. Sekarang dia ada sahabat baru dari Umno, Mahdzir Khalid, yang juga kalah di Parlimen Padang Terap, untuk serang Sanusi.

Siapa pilihan Kerajaan Madani untuk calon MB Kedah, Tok Det atau Mahfuz? Mahfuz nampak lebih ‘deraih’ daripada Tok Det, tetapi Umno yang lebih lama bertapak di Kedah berbanding Amanah. Umno juga terpaksa menerima hakikat bahawa penerimaan rakyat sudah banyak berubah. Kempen bahawa PAS tidak pandai mengurus negeri semakin tidak laku.

Kempen menyalahkan pihak lain juga sudah “obsolete”. Rakyat nak dengar apa yang ditawarkan kepada mereka, bukan caci maki pemimpin.

Mahfuz sudah mula menggunakan kes fitnah yang dia menang ke atas Sanusi untuk meranapkan kredibiliti Sanusi sebagai tidak layak lagi menjadi menteri besar. Kalau rakyat Kedah termakan modal ini Sanusi akan dilihat orang yang ‘sembang kuat’ dan tidak mampu menerajui kerajaan.

Projek aerotropolis Kulim diperlekehkan sebagai angan-angan kosong Sanusi. Yang kita dengar ialah masalah “endorsement” ke peringkat persekutuan, bukan masalah “viability”. Kerajaan negeri yang tidak selari dengan Putrajaya akan terus dianaktirikan. Tidak kira era mana pun. Kerajaan negeri kena cari alternatif lain.

Sejauh mana Mahfuz boleh mengekalkan momentum serangan ke atas Sanusi? Jika dia tidak terpilih jadi calon MB pada PRN Jun atau Julai ini, mungkin permainannya berbeza. Jika Tok Det terpilih jadi calon MB, Mahfuz akan cuma “playing second fiddle” saja. Suaranya tidak akan jadi ‘sederaih’ hari ini dan akan ada protes senyap.

Apabila kerusi Parlimen Alor Setar dirampas oleh PN PAS, pemimpin muda seperti Afnan Hamimi membuka mata ramai. Sejak 1955, Alor Setar diwakili MCA dan paling akhir oleh PH. Apa lagi tanda yang rakyat mahu buktikan kepada pemimpin bahawa selera mereka sudah berubah?

Rakyat salah memilih? Rakyat tidak pandai menilai? Rakyat dapat maklumat salah? Sampai bila mahu terus salahkan rakyat? Sebelum ini rakyat dengan rendah hati “accommodate” kehendak pemimpin, tetapi sekarang ia sepatutnya berlaku sebaliknya. Jangan ‘dok’ ingat ‘depa’ saja yang ‘betoi’, kata orang Kedah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.