`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, April 11, 2023

Umno Sabah berkeras, masih tak sokong Hajiji walau diminta BN pusat

 

Bung Moktar Radin berkata, tiada sebarang resolusi ke arah pembentukan kerajaan perpaduan Sabah yang dicapai setakat ini.  (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Sabah mengambil pendirian bertentangan dengan Barisan Nasional (BN) pusat untuk tidak menyokong kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji Noor.

Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, sehingga kini tiada sebarang resolusi ke arah pembentukan kerajaan perpaduan Sabah yang dicapai dalam perbincangan antara Umno-BN yang diwakili bekas timbalan ketua Umno Sabah, Yakub Khan.

“Sebelum ini Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa BN memberi sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor dengan mengambil kira ketetapan di peringkat persekutuan yang membentuk kerajaan perpaduan.

“Perbincangan sudah dilakukan Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan untuk menyelaras semua parti yang mengasaskannya dan di Sabah kita diwakili oleh bekas timbalan ketua Umno, Yakub Khan.

“Bagaimanapun sehingga ke hari ini tiada resolusi yang dicapai, malah pemecatan pegawai lantikan politik dari Umno terus dilakukan. Jadi, apakah ini yang dimaksudkan kerajaan perpaduan,” katanya menurut Harian Metro.

Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menjelaskan kekeliruan berhubung ada pemimpin parti itu masih berada dalam kerajaan GRS ketika ini.

Katanya, pemimpin terbabit tidak membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Hajiji, berbanding beberapa pemimpin lain yang dipecat Umno.

“Pemimpin yang dipecat oleh Umno kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangani SD serta sudah pun mengisytiharkan keluar daripada Umno,” katanya.

Ketika ini, beberapa pemimpin Umno dilantik sebagai pembantu menteri dalam barisan Jemaah Menteri baharu kerajaan GRS, iaitu Adun Tanjung Batu, Andi Mohd Suryady Bandy (pembantu menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan ); Adun Bengkoka Harun Durabi (pembantu menteri sains, teknologi dan inovasi ), dan Adun Sungai Sibuga Mohd Hamsan Awang Supain (pembantu menteri kerajaan tempatan dan perumahan).

Pada 12 Feb, Zambry berkata, BN mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendukung kerajaan perpaduan Sabah pimpinan Hajiji.

Katanya, BN Sabah dipertanggungjawab menggembleng segala usaha untuk memastikan agenda perpaduan dapat direalisasi, sekali gus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri itu melalui kerajaan perpaduan Sabah.

Pada 8 Mac, Presiden Umno Zahid Hamidi menasihatkan ahlinya di Sabah “tidak mengguris hati” rakan dalam kerajaan perpaduan negeri itu demi kestabilan politik.

“Untuk Umno sendiri saya telah memberitahu rakan-rakan saya dari Umno dan BN Sabah supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perasaan atau mengguris hati mana-mana pihak.

“Terdapat beberapa langkah penyelesaian dilakukan dan kita mencari kaedah terbaik supaya kerajaan di Sabah ini terus dikekalkan sehingga PRN akan datang,” katanya menurut Sinar Harian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.