`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, June 24, 2023

Sarawak kekal tarif elektrik

 

Abang Johari Openg berkata, Sarawak mampu menjana tenaga menerusi empangan hidroelektriknya. (Gambar Bernama)

KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak bercadang menaikkan tarif elektrik memandangkan negeri mampu menjana tenaga menerusi empangan hidroelektrik, kata Premiernya, Abang Johari Openg.

Beliau berkata, peningkatan tarif elektrik antara lain hanya akan mengakibatkan aktiviti pelaburan di negeri ini terjejas.

“Sarawak mempunyai kekuatan dari segi tenaga elektrik, selain itu tarif (elektrik) kita pun tidak tinggi dan masih (menggunakan) harga lama. Kalau harga elektrik tinggi, pelabur tidak akan masuk dan kontraktor pun akan mengalami kesusahan membayar bil elektrik tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Sarawak kali ke-24 di sini, malam tadi.

Katanya, penambahan projek empangan hidroelektrik di Sarawak yang kini dalam proses pembinaan seperti Empangan Trusan di Lawas dan Empangan Baleh di Kapit akan meningkatkan sumber tenaga elektrik di negeri ini.

Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik susulan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Dis ini di bawah pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Beliau berkata, ia merangkumi 99% daripada pengguna domestik di Semenanjung Malaysia.

Februari lalu, Abang Johari mengumumkan kerajaan negeri bersetuju melanjutkan diskaun bil elektrik melibatkan pengguna domestik, komersial dan industri menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sebanyak 5% hingga 25% sehingga bulan ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.