PETALING JAYA: Imigresen meminta orang ramai tidak berspekulasi tentang ‘kekecohan’ membabitkan seorang menteri yang cuba membantu seorang warga China ditahan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Ruslin Jusoh berkata pihaknya telah memulakan siasatan ke atas kejadian itu dan berkata ia akan dijalankan secara menyeluruh.
“Jabatan ini memohon supaya orang ramai memberikan ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus dan tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.
Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.
Hari ini, Menteri Pelancongan, Seni, dan Budaya Tiong King Sing berkata “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di KLIA itu.
Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.
Katanya, semua maklumat berkaitan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.