Rasanya ramai masih ingat filem Bollywood, My name is Khan, lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol yang antara tayangan box office 13 tahun lalu. Ia mengisahkan seorang lelaki Muslim yang menghidap autisme pergi ke AS untuk bertemu presiden negara itu bagi merungkai masalah besar membabitkan umat Islam. Masalah itu ialah Islamofobia yang tercetus akibat peristiwa 9/11 di New York.
Dialog Shah Rukh Khan yang amat berkesan berbunyi: “My name is Khan and I am not a terrorist.” Kata-kata itu menceritakan segala-galanya. Meskipun itu dialog dalam filem ia boleh disuarakan di luar filem, malah memang kedengaran in the real world hingga ke hari ini kerana prejudis terhadap orang Islam masih berlaku.
Baru-baru ini rencana oleh Council on American – Islamic Relations (CAIR) mengetengahkan satu laporan yang mengatakan lebih 98% nama dalam senarai pengawasan atau pemantauan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS ialah nama orang Islam. Ertinya ramai orang dipantau berdasarkan nama mereka.
Memang benar jika anda dikenali dengan ‘nama orang Islam’, anda disyaki seorang pengganas. Paling tidak dilihat as potential trouble maker, lalu disyaki, dipantau, dan diawasi khususnya oleh pihak AS. Tetapi bukan di AS sahaja anda dipandang serong.
Saya sendiri pernah dilihat atas bawah oleh imigresen Korea Selatan beberapa tahun lalu. Waktu itu insiden 9/11 masih panas. Apabila saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, pegawai imigresen dengan muka serius mengambil masa lama meneliti pasport saya. Selain tengok saya atas bawah, si pegawai membelek-belek pasport. Setelah begitu lama barulah saya dapat ‘lampu hijau’, pasport dicop, dan dibenarkan masuk Korea Selatan.
Saya diberitahu oleh seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Seoul yang menjemput saya di lapangan terbang, kemungkinan besar saya diteliti kerana nama saya ada perkataan “bin”. Lantas si pegawai imigresen mungkin teringat akan “Bin Laden” iaitu Osama bin Laden dan resah.
Apapun hingga sekarang setiap kali kita travel menaiki pesawat kita wajib patuh akan peraturan yang dirangka untuk menjaga keselamatan. Dalam erti lain kita terpaska harung kesusahan seperti tanggal tali pinggang, jaket kosongkan kocek, letak laptop dalam tray untuk melalui mesin pengesan. Mahu kesan apa? Bom mungkin? Cecair juga ada hadnya. Mengapa? Ia boleh digunakan sebagai senjata barangkali? Awal-awal dulu kasut pun mesti ditanggalkan sebelum melalui mesin pengesan. Semua ini bertujuan supaya pengganas tidak dapat merampas pesawat dan melakukan macam-macam act of terror.
Walaupun saya akur dan faham pentingnya langkah ketat dikenakan, saya kerap juga merungut kerana disusahi. Ini dilaksanakan di merata dunia termasuk di lapangan terbang kita. Semuanya kerana apa yang berlaku pada 11 September 2001 apabila AS diserang, yakni dua pesawat dirampas oleh pengganas dan merempuh Pusat Dagangan Dunia di New York.
Realitinya yang melancar serangan itu orang Islam. Umat Islam tidak merestui apatah lagi menyokong tindakan kumpulan itu kerana ini bukan ajaran Islam, kata kita. Tetapi kita mesti akui mereka orang Islam. Itu hakikatnya, dan apa yang orang Islam itu lakukan menyusahkan umat Islam.
Lalu timbulah Islamofobia. Sememangnya tidak adil untuk menganggap semua orang Islam pengganas. Kita faham akan ketakutan yang dialami dan tahu bahawa tidak adil untuk menyalahkan orang bukan Islam kerana mengesyaki setiap orang Islam.
Tetapi apa yang dilakukan terhadap orang Islam pun sesuatu yang tidak adil. Serangan 9/11 seolah menghalalkan prejudis, tindak balas yang tidak adil, dan kadangkala kejam ke atas semua orang Islam.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas laporan CAIR berkata menganggap seseorang itu pengganas hanya kerana dia mempunyai ‘nama orang Islam’ adalah isu salah tafsiran dan prasangka.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan FBI Asia Pacific di Kuala Lumpur tempoh hari. Turut hadir Duta AS ke Malaysia, Brian D McFeeters dan Penolong Pengarah Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda.
Kata Zahid lagi, pada dasarnya bukan ‘nama orang Islam’ seperti Muhammad atau Ahmad dikategorikan sebagai pengganas. Katanya, polisi AS “amat jelas dan ia tidak ada prasangka perkauman atau agama.” Terpulang anda setuju atau tidak dengan kenyataan Zahid.
Zahid mengulangi dialog Shah Rukh Khan (dengan sedikit perubahan): “Nama saya Ahmad, saya bukan pengganas”. Lalu beliau berharap Kedutaan AS di Malaysia dapat bantu menyelesaikan isu ini.
Teringat saya akan sesuatu yang pernah kedengaran. Harap ia sudah tidak kedengaran lagi. Yang saya maksudkan adalah ungkapan “not all Muslims are terrorists but all terrorists are Muslims”.
Semoga Hari Raya Aidiladha ini membawa kesejahteraan kepada semua. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.