KUCHING: Sembilan kru dilaporkan hilang dalam insiden kapal kargo terbalik yang berlaku kira-kira empat batu nautika ke barat laut Pulau Burung berdekatan perairan Sebuyau, kira-kira 103 kilometer dari Kuching.
Pengarah Maritim Malaysia Sarawak, Zin Azman Md Yunus berkata kru yang hilang terdiri dari empat warga tempatan yang dikenali sebagai Chieng Siew Ngiek, Wong Hua Wu, Maxwell Billy Stimba dan Stimba Anak Chuit.
“Empat lagi mangsa merupakan warga Myanmar iaitu That Min July, Ye Lin Htet, Hla Win Tun, Tun Lin Oo dan seorang lagi warga Indonesia bernama Lido Ali Purwanto. Semua mangsa berumur dalam lingkungan 20 hingga 52 tahun,” menurutnya dalam kenyataan.
Beliau berkata Maritim Malaysia menerima laporan berhubung kejadian menimpa kapal itu, yang dikenali sebagai MV Tung Sung, pada kira-kira 9.40 pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dimulakan pada 1.20 tengah hari dengan sebuah aset agensi itu, KM Kinabalu, digerakkan ke lokasi kejadian.
“Bot KILAT 35 dan bantuan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara Polis turut digerakkan ke kawasan pencarian,” katanya.
Menurutnya, sektor pencarian melibatkan kawasan perairan seluas 210.48 batu nautika persegi namun ditangguh setakat 7 malam ini dan disambung semula pada 8 pagi esok. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.