PUTRAJAYA: Pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada pengembara akan ditentukan oleh pegawai pengurusan profesional imigresen Gred KP41 dan ke atas, berbanding KP29 ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Saifuddin pada sidang media berkata, langkah itu yang berkuat kuasa serta-merta merupakan sebahagian usaha untuk memperbaiki pengurusan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara.
“Pada kadar segera, pegawai imigresen ini diberikan kuasa untuk mempertimbangkan kemasukan pengembara-pengembara,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga akan bekerjasama dengan Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) untuk meletakkan lebih banyak papan tanda di lapangan terbang bagi kemudahan pengembara membuat persiapan berhubung perkara asas imigresen seperti tiket balik dan alamat yang hendak dituju.
KDN juga akan menyediakan meja bantuan menempatkan pegawai imigresen yang boleh berkomunikasi dalam bahasa asing.
“Pegawai yang berkebolehan berkomunikasi dalam bahasa seperti Mandarin, Tamil dan Arab untuk membantu urusan masuk dan keluar lapangan terbang antarabangsa akan ditempatkan dengan segera,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut meminta Kementerian Pengangkutan melihat aspek dan amalan sebuah syarikat yang dilantik untuk menguruskan pengembara luar diberi NTL.
Katanya, syarikat itu yang dilantik sejak Februari 2015 bertanggungjawab menguruskan pembelian tiket pulang dan makan minum pengembara yang dikenakan NTL.
“Menteri pengangkutan diminta melihat semula aspek lantikan ini sama ada ia amalan biasa,” katanya.
“Kadang-kadang dekat sini yang menimbulkan kekeliruan apabila seorang dikenakan NTL diminta menyediakan sejumlah wang untuk beli tiket pulang. Kadang-kadang disalah anggap sebagai pegawai imigresen yang minta duit.”
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, seramai 592,490 pelancong China tiba di negara ini sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini dan daripada jumlah tersebut, seramai 423 telah diberikan NTL. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.