PETALING JAYA: Tiga exco Selangor tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang mereka pada PRN akan datang bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Mereka ialah Teng Chang Khim, Dr Siti Mariah Mahmud dan V Ganabatirau masing-masing Adun Bandar Baru Klang, Seri Serdang serta Kota Kemuning.
Teng, 60, yang juga pengerusi jawatankuasa tetap pelaburan, perdagangan, perindustrian dan industri kecil dan sederhana negeri berkata, beliau kekal dengan hasratnya tidak bertanding PRN seperti diumumkan pada 2020.
“Inilah kemuncak saya di peringkat negeri dan saya tidak nampak ada peluang yang cemerlang untuk saya ke Parlimen.
“Kalau sudah sampai kemuncak, lebih baik saya berundur supaya orang di belakang saya dapat juga diberi peluang menunjukkan bakat mereka berkhidmat untuk negara,” katanya menurut Harian Metro.
Teng pada Disember 2020 mengumumkan akan bersara daripada dunia politik dan tidak bertanding pada PRN akan datang. Bekas speaker DUN Selangor itu menyertai DAP sejak 33 tahun lalu dan melepaskan semua jawatan dalam parti tahun lalu.
Sementara itu, Siti Mariah menyifatkan peluang tiga penggal berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, Adun serta exco kesihatan awam, perpaduan dan pembangunan wanita & keluarga sebagai pengalaman penting dan sangat berharga.
Selepas ini, katanya, beliau mahu membantu membimbing bakal pemimpin baharu, aktivis dalam bidang politik, khasnya wanita, serta mendekati masyarakat untuk menanam kepentingan kesihatan dalam komuniti.
“Saya tidak bercadang hendak berehat terus, saya ada tugas lain hendak buat, tetapi tidak semestinya sebagai Adun atau exco,” katanya.
Ganabatirau pula berkata, beliau menurut perintah pucuk pimpinan tidak bertanding pada PRN Selangor.
“Ya (tidak bertanding PRN),” kata exco pembangunan sosio ekonomi, kebajikan masyarakat dan pemberdayaan pekerja negeri itu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.