ALOR SETAR Remaja berusia 18 tahun antara dua lelaki yang ditemukan lemas ketika mandi-manda di dua pusat rekreasi di Kulim hari ini.
Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh berkata, remaja tersebut lemas ketika mandi bersama tiga lagi rakannya di Pusat Rekreasi Lata Arus Deras Lubuk Buluh dekat Sedim pada kira-kira 12 tengah hari.
“Mangsa bersama rakannya mandi di kawasan yang arusnya air sangat deras sebelum seorang daripada rakan mangsa tergelincir. Mangsa yang cuba menyelamatkan rakannya itu telah dibawa arus deras, menyebabkan dia lemas,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, orang ramai yang berada di kawasan tersebut berjaya membawa naik mangsa yang dijumpai tenggelam di dasar sungai, namun mangsa telah meninggal dunia.
Mohd Redzuan berkata, dalam kejadian kedua, seorang lelaki berusia 24 tahun lemas di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong.
“Saksi memaklumkan mangsa bersama rakannya mandi di kawasan tersebut pada kira-kira 2.10 petang sebelum dipercayai lemas.
“Rakan mangsa cuba menyelamatkannya, bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.
Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.