PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR Selangor Rozana Zainal Abidin mendakwa ada musuh cuba menganggu fokus jentera pilihan rayanya dengan menyebarkan senarai palsu 20 calon PRN Selangor parti itu.
Bercakap kepada FMT, bekas Adun Permatang yang namanya turut disenaraikan dalam sebaran palsu itu menyifatkannya sebagai perang saraf untuk mengganggu tugas jentera Pakatan Harapan (PH) di lapangan.
“Edaran palsu itu hanya ‘psy war’ dan cuba ganggu tugas anggota di lapangan yang berada pada tahap terbaik, ia tidak beri kesan.
“Saya ada dapat juga sebelum ini tetapi berbeza senarai terbaharu ini,” katanya yang mahu semua wakil rakyat PKR sama ada tercalon atau tidak fokus memberi khidmat bakti kepada penduduk.
Menerusi edaran dalaman berkenaan, Menteri Besar Amirudin Shari dikatakan akan mempertahankan kerusi Sungai Tua, selain itu ada beberapa penyandang dipindahkan ke kawasan lain seperti Najwan Halimi dari Kota Anggerik ke Batu Tiga.
Senarai itu menampilkan 14 penyandang dan enam muka baharu antaranya penyanyi rap Altimet (Bukit Antarabangsa) dan Hans Isaac (Lembah Jaya atau Taman Medan).
Pengarah Operasi Pilihan Raya PH dan PKR Selangor Yahya Mat Sahri berkata senarai itu palsu memandangkan permohonan untuk menjadi calon baru ditutup semalam.
Menurutnya, senarai pendek setiap DUN akan dibincangkan minggu ini.
“Baik DAP, PKR, dan Amanah belum ada (senarai calon). Sebaran itu palsu,” katanya
PRN akan diadakan 12 Ogos depan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.