`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, April 2, 2024

Mesyuarat tergempar jawatankuasa harmoni bincang polemik kaum, agama

 

Aaron Ago Dagang dan Na’im Mokhtar meminta supaya semua pihak tidak lagi mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama.

PETALING JAYA: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang dikendalikan bersama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan polemik perkauman dan agama yang semakin meruncing ketika ini.

Dalam kenyataan bersama, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata tindakan itu bagi mengambil langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.

“Sejak beberapa minggu ini, negara terus menerus dilanda dengan pelbagai insiden berhubung sensitiviti agama dan perkauman termasuk baru-baru ini di KK Mart, Kuching yang disebabkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Amaran tegas kepada kesemua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang lampau sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia,” kata mereka dalam kenyataan.

Mereka juga menggesa tiada lagi pihak mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai hidup yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan.”

Tiga insiden serangan bom petrol berlaku di kedai KK Mart, terbaru di Kuching, Sarawak pada Ahad.

Kejadian pertama dan kedua berlaku di Perak serta Pahang, masing-masing pada 26 dan 29 Mac.

Serangan ketiga berlaku walaupun Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menggesa pelbagai pihak supaya berhenti memperkatakan isu itu manakala Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan dukacita dan kecewa dengan kejadian itu.

KK Mart menjadi tumpuan selepas stoking tertera kalimah Allah didapati ditemui di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway.

Pengasasnya KK Chai dan isterinya Loh Siew Mui, yang merupakan pengarah syarikat, mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan melukakan perasaan agama seseorang bersama tiga pengarah pembekal stoking Xin Jian Chang Sdn Bhd. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.