`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, April 5, 2024

Surat layang celikkan FAM

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukan sekadar organisasi besar, malah ia juga gah. Sebagai organisasi berkait dengan sukan nombor satu negara, sudah tentu ia menjadi tumpuan lebih daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang lain, di sebalik ia antara terkebelakang dalam menyumbang kejayaan kepada negara.

Ada persatuan dianggap dianaktirikan seperti skuasy yang sudah melahirkan juara dunia, di samping memiliki beberapa juara dalam pembikinan, tapi FAM yang lebih dipandang orang kerana minat ramai terhadap bola sepak.

Mengurus organisasi seperti FAM yang dilihat besar tapi tidak memberi pulangan setimpal lagilah susah. Cabarannya amat besar kerana setiap kegagalan akan mencetuskan kemarahan dan kekecewaan yang besar juga dibandingkan dengan organisasi sukan lain yang kurang glamor dan menjadi ikutan.

Ada yang kata Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin bergaji RM90,000 sebulan. Kalaupun benar, itu bukan masalahnya jika jawatan sepenting itu memang diperuntukkan gaji sebesar itu, di samping FAM – baik menerusi tajaan, pengkomersialan atau levi dikutipnya – memang mampu membayarnya. Tapi apabila ada kakitangan mendakwa kenaikan gaji dan faedah ditawarkan “yang paling teruk”, itu jadi masalah yang lambat-laun akan “meletup” juga.

Hujung minggu lalu, FAM digoncang pengedaran surat layang mendakwa pelbagai anomali dalam organisasi itu, yang berkisar daripada serangan peribadi, ketidakpuasan hati kakitangan, penindasan dan penganiayaan, kelemahan pengurusan pasukan kebangsaan hinggalah dakwaan kesalahan tata kelola yang mungkin membabitkan elemen rasuah.

Hamidin dalam sidang medianya selepas Kongres FAM Ke-60 di Subang Jaya pada Isnin lalu memecahkan kepada empat tuduhan terhadap dirinya sendiri, 15 tuduhan terhadap Setiausaha Agung Noor Azman Rahman, masing-masing satu tuduhan ke atas kedua-dua Timbalan Presiden Yusof Mahadi dan S Sivasundaram, manakala lapan lagi tuduhan rambang.

Melahirkan rasa sedih kerana tuduhan berkenaan dibuat pada 10 hari terakhir Ramadan – tuduhan sedemikian pada bila-bila masa pun merimaskan – Hamidin yang menjawab sebanyak mungkin tuduhan dibangkitkan menganggapnya fitnah dan tohmahan semata-mata, selain datang daripada pihak tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

Tambahnya, ada pihak cuba mengeruhkan suasana setelah kalah dua kali kepada Oman dalam aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 baru-baru ini, selain sebagai percubaan untuk menggugat organisasi itu.

Apa pun huraian diberikannya daripada segi pengurusan dan tadbir urus, tidak dapat dinafikan ada persepsi negatif terbentuk dalam kalangan peminat bola sepak negara bahawa Wisma FAM di Kelana Jaya yang dilihat gah dari luar, rupa-rupanya berkocak di dalamnya.

Apatah lagi penulis surat layang itu menggambarkan pentadbiran FAM ketika ini terumbang-ambing tanpa visi dan misi. Kapal (FAM) ini nampaknya akan tenggelam kerana pihak atasan FAM sibuk bermain politik demi kepentingan dan ketamakan sendiri.

Mustahil organisasi sebesar FAM tidak mempunyai sedikit sebanyak masalah pentadbiran, tapi itu terserah kepada kebijaksanaan Hamidin dan pasukannya melakukan penambahbaikan bagi memperbetulkan keadaan. Namun, rasanya tidak kena jika FAM lebih beria-ia melakukan siasatan dalaman bagi mencari sumber atau individu menghantar surat tersebut. Meski langkah itu tidak salah, tapi ia bukan keutamaan.

Cuma, apa yang mungkin menarik perhatian ialah dakwaan berunsur jenayah. Surat layang itu terkandung tuduhan hak penyiaran Piala Asia 2027 dan Piala Dunia 2026 dijual dengan harga begitu rendah supaya pihak ketiga dapat mengaut keuntungan lebih. Beberapa individu didakwa kemungkinan besar dibayar secara sulit.

Selain itu, sebuah syarikat kroni didakwa telah dikenal pasti dari awal dalam proses tender yang notisnya dikeluarkan pada 15 Sept 2023 untuk pembinaan pusat latihan kebangsaan (NTC). Seorang pegawai tertinggi FAM didakwa menjadi “ejen” yang berjaya meyakinkan presiden FAM untuk syarikat terbabit diberikan projek itu.

“Semua perkara melibatkan kewangan di FAM adalah mengikut Statut FAM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, iaitu ia perlu melalui jawatankuasa tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM, sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan,” jelas Hamidin.

“Mengenai NTC yang diperkatakan dalam surat itu, kita telah melalui semua proses dan bulan ini Fifa juga akan melihat sebelum menganugerahkan projek tersebut. Kesudahannya, Fifa akan buat keputusan,” tambahnya.

Di sebalik semua urusan berkenaan dikatakan dilakukan dengan telus, FAM wajar membiarkan siasatan dilakukan pihak berkuasa untuk mengelakkan konflik kepentingan.

“Kami ingin minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat bagaimana proses tender ini dijalankan kerana kami di FAM tahu siapa sebenarnya yang terlibat dalam ‘deal’ ini. Kami akan mengeluarkan segala info dan maklumat kewangan tidak lama lagi…ingin sangat simpan maklumat ini dengan begitu kemas sekali, tetapi kebocoran berlaku dari bahagian kewangan FAM yang tahu ketamakan individu-individu FAM ini,” dakwa surat layang itu lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Khamis yakin SPRM akan meneliti surat layang membabitkan FAM sambil percaya agensi antirasuah itu akan melakukan yang terbaik untuk menyiasat isu dibangkitkan.

“Jika ada laporan, saya percaya Kementerian Belia dan Sukan akan hubungi SPRM untuk lihat apa langkah yang boleh dilakukan,” kata Yeoh yang turut berharap FAM boleh menguruskan isu itu sekiranya ia berpunca daripada masalah dalaman.

Keterbukaan FAM untuk sebarang siasatan berkaitan tuduhan dibangkitkan hendaklah dialu-alukan bagi menjernihkan keadaan, selain membersihkan organisasi itu daripada persepsi negatif yang mungkin berpanjangan.

Keseriusan badan induk itu yang sedang menimbang membuat laporan polis berhubung surat layang itu bagaimanapun hendaklah dibuktikan. Sejurus selesai kongresnya Isnin lalu, laporan polis belum dibuat, melainkan ia tidak dilaporkan media.

Alang-alang mereka mahu memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa, elok FAM membuat laporan kepada SPRM sekali, daripada mengharapkan mana-mana pihak lain berbuat demikian.

Apa pun, kita percaya apa yang berlaku pada 10 hari terakhir Ramadan ada hikmahnya tersendiri – tidak terkecuali surat layang itu harus membuka mata kepimpinan FAM untuk memperkemaskan organisasinya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.