`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 25, 2024

Orang Malaya sama orang Borneo

 

Mohsin Abdullah

Ikut sejarah memang Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya bersama Borneo Utara atau Sabah, Sarawak dan Singapura menubuhkan Malaysia. Oleh itu tidak ada salahnya orang Borneo merujuk orang Persekutuan Tanah Melayu waktu itu sebagai orang Malaya.

Bagaimanapun, hingga sekarang ada kalangan orang Borneo terutama Sarawak yang masih guna istilah orang Malaya untuk orang Semenanjung walaupun Malaya sudah tidak wujud berikutan penubuhan Malaysia.

Apa pun semuanya aman meskipun ada rasa tidak puas hati di Borneo terhadap pelaksanaan beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963. Timbul juga kumpulan ekstrem yang mahu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Sehingga kini ada kumpulan ‘hardcore’ seperti itu termasuk yang terdiri rakyat Malaysia dari Sabah dan Sarawak yang duduk di luar negara.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilapor media memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan dan digantikan bendera Sabah dan Sarawak.

Menurutnya hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia pada 16 Sept lalu konon sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas kedua dua ‘negeri’ serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.

Seperti disebut tadi ada ketidakpuasan hati terhadap beberapa aspek Perjanjian Malaysia 1963. Antaranya istilah negeri bagi Sabah dan Sarawak yang meletakkan kedua-duanya sebagai ‘just like the other states in the federation of Malaysia’. Lantas kerajaan persekutuan mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai wilayah bukan negeri.

Buat masa ini ada beberapa isu yang sedang dibincangkan khususnya oleh Sarawak dengan kerajaan persekutuan. Ini termasuk hak ke atas minyak dan gas, penambahan jumlah kerusi di Parlimen. Sarawak turut dilihat melaksanakan beberapa langkah tertentu dalam pentadbiran yang ‘bebas’ daripada ‘kawalan’ persekutuan. Memberi gambaran satu negara dua dasar.

Berlatarbelakangkan itu semua, baru-baru ini timbul isu 300 pemohon dari luar Sarawak antara 1,700 calon disenarai pendek untuk pengambilan khas guru di wilayah Sarawak.

Premier Sarawak Abang Johari Openg melahirkan kekecewaan dengan cara program itu dijalankan. Beliau mendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan atau SPP berjanji kepada kerajaan pimpinannya bahawa guru yang bakal dilantik berasal dari Sarawak. Dalam lain perkataan pada hemat saya, program untuk anak Sarawak sahaja menurut apa yang beliau fahami.

“Namun mereka (SPP) mengubah pendirian dan membuka permohonan kepada orang Semenanjung,” kata beliau. Buat masa ini Abang Johari menyerahkan kepada Roland Sagah Wee Inn, menteri pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat Sarawak untuk berunding dengan SPP. Sagah sememangnya bertekad hanya calon dari Sarawak yang harus diterima bawah inisiatif itu.

Pastilah pendirian sedemikian mengundang pelbagai andaian dan spekulasi lantas Abang Johari menafikan Sarawak atau lebih tepat kerajaan Sarawak bersikap ‘anti-Malaya’ atau ‘anti-Semenanjung’.

Sebaliknya, kata Abang Johari beliau hanya mahu mengelak senario guru bukan berasal dari Sarawak akan memohon untuk kembali ke Semenanjung selepas dua tahun berkhidmat di Sarawak. Sekali gus masalah kekurangan guru di Sarawak tidak akan dapat diselesaikan.

“Kalau anak Sarawak, mereka tidak memohon berpindah, kalau ada pun perpindahan dalam Sarawak sahaja,” kata Abang Johari.

Dalam isu ini saya setuju dengan pendapat premier Sarawak itu. Memang kebanyakan guru Semenanjung keberatan untuk pergi mengajar di Sarawak. Kalau ditukarkan, mereka terpaksa ikut arahan dengan hati berat terutama jika dipindahkan ke kawasan pedalaman. Terpaksa akur kerana mungkin membabitkan kenaikan gaji atau bimbang akan dikenakan tindakan disiplin jika menolak. Kesimpulannya majoriti mahu pulang ke Semenanjung selepas beberapa tahun berkhidmat di Sarawak. Lalu memohon untuk dipindahkan seperti kata Abang Johari tadi.

Beralih kepada satu kisah menyayat hati. Menurut portal berita Getaran seorang wanita berusia 30 tahun bernama Nur Atiqah My Yusoff didiagnos kanser tulang rawan, yang disahkan sebagai agresif dan sudah berada pada tahap empat.

“Atas faktor ini doktor menyarankan agar suami sentiasa berada di sisi kerana jaminan untuk saya bertahan lama terlalu tipis,” kata beliau yang dilapor Getaran.

Suami beliau, Mohammad Izzuddin Izhar berusia 34 tahun semasa ini mengajar subjek Pendidikan Islam di sebuah sekolah di Kanowit, Sarawak. Izzuddin sudah membuat permohonan untuk bertukar ke Semenanjung tetapi sehingga kini dikatakan tidak (atau belum) menerima respons positif.

Pada pandangan saya ini permohonan pindah yang lain daripada permohonan pindah yang disebut dan dibimbangi Abang Johari. Ini soal kemanusiaan.

Nota kaki: Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Kementerian Pendidikan berkata tindakan segera untuk membantu guru terbabit sedang diambil. Ia juga akan mengadakan pertemuan dengan pendidik itu yang dirujuk sebagai Cikgu Din dalam masa terdekat untuk membincangkan kebajikan lain. Buat masa ini Cikgu Din diberikan cuti untuk berada bersama pasangannya menjalani rawatan di Kelantan. - FMT 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.