`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, October 25, 2024

Telekung Siti Selangor

 

faisal tehrani

Baru-baru ini beberapa orang teman sepejabat mengeluh dan bertanya kepada saya mengenai fatwa terbaru yang datang dari negeri Selangor. Katanya fatwa itu mengenai aurat wanita di dalam atau tatkala bersembahyang.

Menurut mereka, grup media sosial seperti WhatsApp kaum wanita sudah habis geger rentetan hantaran info grafik bertarikh 18 Okt 2024, di mana Jabatan Mufti Selangor memuat naik maklumat menjejerkan hukum solat wanita tidak memakai pakaian menutup aurat di dalam telekung.

Dek kerana ditanya, saya pun mencari-cari huraian yang diheboh dan dihebah tersebut, maka jelasnya; hukum pakaian yang tidak menutup aurat di dalam tudung telekung adalah tidak sah. Katanya, memakai pakaian yang tidak menutup aurat di dalam telekung tidak dikira sebagai usaha menutup aurat dengan sempurna kerana inisiatif memakai pakaian menutup aurat tidak dianggap sukar pada zaman ini. Tambahan pada huraian itu memaklumkan, hukum solat itu sah sekiranya pakaian di dalam telekung itu menutup aurat kerana aurat tidak kelihatan dari arah bawah tudung telekung.

Dalam erti kata lain kaum wanita yang mengenakan t-shirt lengan pendek atau baju kelawar di dalam telekung, bangun bersembahyang tahajud dan subuh, hasilnya sembahyang mereka tidak sah. Mak cik kampung seperti Mak Long Leha yang berkemban dalam telekung pun solat zuhurnya tidak sah. Huraian hukum itu terus menjela-jelakan pula ehwal pakaian yang menutup aurat di dalam telekung dikira sebagai usaha maksimum untuk menutup aurat secara sempurna. Aurat yang dapat dilihat dari arah bawah tudung telekung tidak termasuk dalam kategori aurat dimaafkan.

Teman-teman sepejabat saya yang saling bertingkah berjawab-jawab sesama mereka itu terus membincangkan kebingungan, keresahan dan fikiran liar mereka yang macam-macam. Ada dalam kalangan mak cik dan kakak-kakak yang sudah tidak keruan nampaknya mulai mengenangkan duduk solatnya yang tidak sah selama ini.

Kata seorang lain teman lain menyampuk, “Mujur pada huraian fatwa atau ijtihad itu ada dinyatakan bahawa ‘solat yang dilaksanakan sebelumnya dalam keadaan tidak mengetahui akan hukum itu tidak perlu diganti atas alasan ia merupakan perkara tersembunyi dalam kalangan masyarakat serta menjadi adat kebanyakan wanita di negara ini’, pun fatwa ini tentu sahaja mengganggu fikiran jernih ramai orang.”

Sebagai lelaki, saya banyak mendengar. Ada rasa kasihan. Saya bukan seorang perempuan. Justeru saya tidak dapat merasai keresahan yang sama. Meskipun memang ijazah pertama saya adalah syariah, saya tetap seorang lelaki yang tak akan dapat cakna dan skibidi akan segala hukum-hakam melibatkan wanita.

Dalam huraian hukum-hakam kita, yang dikeluarkan oleh kaum lelaki seperti saya; selalu ada keterperincian yang kadangkala membuatkan orang tambah was-was, atau berlebih-lebih. Misalnya tatkala mandi janabah diberat-beratkan supaya membasuh, meratakan, mencebuk dan memastikan air basah mengenai segala anggota ‘yang tersembunyi’. Ustaz yang mengajar dulu-dulu memesankan wajib mencangkung, pastikan segala alat sulit yang ‘terpokah’ atau ‘terjulur keluar’ itu turut dibasahi air. Mana-mana rimba yang terselindung itu diselak-selakkan agar rata airnya. Begitulah hal-hal yang diberat-beratkan di tengah hilai tawa pelajar syariah.

Dalam hal aurat wanita ketika bersembahyang, lagilah memang diberat-beratkan. Misalnya jangan sampai nampak bentuk ketika bersujud. Yang saya pasti sukar dilakukan, kerana manusia mana yang tidak berbentuk? Memang wanita kita ada bentuk lidi, manggis, nangka, kentang, dan macam-macam lain. Untuk memastikan bentuk itu sampai tidak berbentuk memanglah melongokan. Hasilnya memang wanita yang bersembahyang, duduk dalam ibadah itu dengan perasaan was-was, sedang mengangkat takbir dia akan terfikir, ‘adakah bentuk langsat aku yang unik ini kelihatan?’. Atau ada pula kewas-wasan ‘oh barangkali ada yang sedang meneliti bentuk salakku?’

Tidak pernah sangat diberatkan hal aurat lelaki. Ramai sahaja lelaki yang tertera bentuk ciku dan duku tatkala bersujud. Jarang sangat ada perbahasan bentuk yang terserlah begitu.

Ada segelintir perempuan Muslim yang memang serasa nestapa untuk beribadah, sebab godaan di luar ada macam-macam. Justeru saat dia perlu selesa dalam ibadah, dia masih membawa sama nestapa ini.

Sepanjang saya mengaji syariah, kemudian membawa kepada disiplin pelbagai, akhir-akhir lantas hinggap di sosiologi; saya memang melihat perkembangan pembuatan fatwa yang bukan semakin cermat dan jelas, tetapi sebaliknya semakin mafsadah dari maslahah.

Pembikinan fatwa harus melibatkan orang yang difatwai. Sudahkah pelbagai perspektif dihitung dicampur ditolak, misalnya. Dalam hal ini, pertamanya; fatwa harus menekuni prinsip-prinsip asas yang dipegang selama ini. Habis diselongkar segala dalil, kitab, dan mazhab. Keduanya, seperti saya sebutkan di atas mengambil kira sudut pandang yang serba aneka. Ketiga, adakah orang yang difatwai sudah pun dirujuk? Tentu tidak dapat diperkira jika wanita yang ditanyai itu adalah kaum wanita keliling pak-pak ustaz dan mufti sahaja. Wanita demikian syok sendiri. Wanita hari ini ada pelbagai jenis kerjaya, termasuk yang membelai cermin tingkap Menara Berkembar KLCC atau jurutera di atas pelantar minyak di Laut China Selatan.

Kaum wanita yang duduk di dalam telekung itu harus ditanyai. Pernah saya bertanya perasaan wanita duduk di dalam telekung, seraya sembahyang banyak rakaat di musim tarawih bulan puasa. Ada yang menjawab berlelucon, bukan semua ada wang besar untuk bersolat di dalam ‘Telekung Siti Selangor’ yang kainnya lembut selesa luar dalam. Yang selalunya bertelekung itu adalah yang panas, kepam, kain kapas yang pengap dan mengakibatkan pelipat lutut, ketiak dan tengkuk basah lencun.

Telekung itulah hantaran kahwin suami yang kedekut. Waktu itu jugalah, kakak-kakak tarawih akan dituntut pula memikirkan apakah telekung yang sudah basah itu menampakkan bentuk mempelam atau mangga mereka, apakah misalnya cempedak itu ia kelihatan dari bawah atau dari atas. Maklumlah waktu tarawih itu ada anak jiran sebelah sedang menyusu terbaring dan nakal masuk bawah telekung kamu.

Baru-baru ini saya menulis sebuah laporan penyelidikan untuk ISEAS-Yusof Ishak bertajuk ‘Selangor Islam: Towards a Religious Approach Suitable for a Cosmopolitan State’ yang saya kira sesuai untuk diperkirakan dalam hal fatwa menfatwa ini.

Islam di Selangor harus lebih canggih pendekatannya. Inspirasi yang berpotensi untuk Selangor dalam meneroka pendekatan unik mereka terhadap Islam mungkin adalah Imam Syafie, yang ada pendapat lama dan baru mengikut konteks Baghdad dan Mesir. Kalau dalam era moden, terbentang sudah wacana pemikir Syria kontemporari Muhammad Syahrur, yang pendekatannya berusaha untuk mengimbangi epistemologi Islam Sunni dengan cabaran moden, mengambil kira konteks sejarah, struktur politik, dan institusi. Tentu saja, idea Syahrur itu berasaskan kepada pengajaran yang diperoleh daripada krisis di Timur Tengah, sebuah kawasan yang dilanda cabaran seperti rasuah, ketidaksamaan ekonomi, kemiskinan, neo-kolonialisme, radikalisasi, peminggiran, dan krisis intelektual. Namun, adalah penting untuk diperhatikan bahawa penduduk Asia Tenggara juga menghadapi cabaran serupa. Dalam konteks Malaysia, dan Selangor; penerapan pendekatan Syahrur sebenarnya selaras dengan maqasid al-syariah seperti diketengahkan dalam kerangka Madani Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Selangor negeri urban, kosmopolitan, rencam dan moden; harusnya pendekatan Islamnya juga begitulah.

Kalau fatwa tidak patriarki, seharusnya pembikinan fatwa darihal wanita dirujuk kepada wanita juga. Mufti atau ustaz tidak bersolat dalam telekung. Dan kita lelaki memang berbangga, ada dua bentuk satu tangkai sahaja, berbanding wanita yang ada bermacam bentuk dan boleh diintai auratnya dari bawah. Lelaki tak ada siapa menghendap dari belakang atau bawah.

Kepada teman-teman sepejabat itu, yang bertanya kepada saya bagaimana pandangan saya sebagai seorang bekas graduan syariah di bawah asuhan almarhum Profesor Dr Mahmood Zuhdi berpendapat, saya hanya menjawab begini; “Tahukah kalian, bahawa Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan mana-mana individu yang menghina kuasa yang sah atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

Teman-teman sepejabat saya itu semuanya terkesima.- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.