
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis menerima laporan daripada lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan berhubung kejadian kira-kira 2.21 petang itu.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai keluar dari stesen minyak secara melulu, sehingga menyebabkan suspek yang memandu di laluan sama terpaksa brek mengejut.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng.
“Akibat serangan itu mangsa mengalami kecederaan di muka sebelah kiri dan mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, menurut Harian Metro.
Menurutnya, polis yang bertindak atas maklumat kemudiannya menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
“Pengunci stereng yang dipercayai digunakan turut dirampas. Ujian saringan air kencing ke atas suspek yang juga penganggur mendapati keputusan negatif dadah.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.
Permohonan reman ke atas suspek dijangka dilakukan di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Dalam video tular berdurasi tujuh saat, seorang individu dilihat mengambil alat pengunci kereta dari bonet sebelum memukul kereta dipercayai milik mangsa. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.