Amat menyedihkan, membosankan dan memualkan apabila politik dan sentimen perkauman berpisah tiada.

Politik ras terus hidup dan segar di negara tercinta ini. Alive and kicking. Sentimen perkauman terus ditiup at the slightest opportunity. Cadangan diadakan pilihan raya tempatan, cadangan Akta Pembangunan Bandar, UEC semuanya dimainkan ikut rentak dan irama elemen bangsa dan kaum. Oh agama juga. Ingat ICERD pada 2018? Sebenarnya banyak lagi. Peluang terbaharu timbul apabila rombakan Kabinet diumumkan Selasa lalu.
Bukan saya kata semua orang mesti setuju dengan keputusan PMX dalam merombak Kabinetnya. Saya sendiri tidak berkenan dengan beberapa langkah yang diambil. Sesiapa yang tidak puas hati sila kritik sepuas hati supaya hati puas tetapi berdasarkan fakta, logik dan keikhlasan. Sememangnya ini ada dilakukan. Umpamanya persoalan bagaimana speaker Parlimen akan memastikan dirinya adil dan berkecuali apabila berdepan anaknya yang baharu dilantik menteri.
Satu lagi persoalan apa akan jadi dengan perancangan jangka panjang khususnya berhubung sukan, yang diatur dan dilaksanakan di Kementerian Belia dan Sukan apabila menteri dan timbalan sekali gus ditukar ke kementerian lain?
Juga kontroversi membabitkan timbalan menteri agama yang baru sehingga bapa saudara terpaksa tampil memberi penjelasan panjang lebar, dan juga tekanan ke atas timbalan menteri pendidikan tinggi supaya ‘tunai janji’ mansuhkan PTPTN memandangkan sejarah silam menuntut (mendesak?) pemansuhan skim pinjaman itu. Sekadar empat contoh.
Tetapi berlaku juga kritikan berlandaskan politik identiti dan politik perkauman. Ini amat membosankan walaupun saya tahu taktik atau strategi itu akan terus dimainkan kerana ia cara paling mudah mendapat sokongan di peti undi.
Lalu PAS dengan pantas menerkam. Parti itu membangkitkan isu kaum pelantikan menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya. Kedua-duanya berbangsa Cina daripada DAP dan GRS.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata selain pelantikan dua pemimpin Cina itu, PAS juga memandang serius pengekalan jawatan menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Kata Takiyuddin: “Kebetulan ketiga-tiga mereka adalah daripada latar belakang etnik yang sama”. Maksudnya ketiga-tiga bangsa Cina. Sebut saja Cina. Apa perlunya Takiyuddin guna istilah latar belakang yang sama.
Kata beliau lagi, Wilayah Persekutuan yakni Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan wilayah atau portfolio biasa — sebaliknya ia mewakili jantung politik dan pentadbiran negara.
Justeru kata Takiyuddin, “pemusatan pentadbiran strategik bandar,kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar dan tidak dapat dielakkan berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara.”
Ertinya Takiyuddin kata dengan adanya dua menteri Cina dan seorang timbalan menteri juga Cina, Wilayah Persekutuan serta pentadbiran negara akan dikuasai Cina. Kata sahaja begitu kan senang instead of using big words and long-winded sentences.
Beliau tentu tahu ketiga-tiga pemimpin Cina itu dikelilingi penjawat awam Melayu. Adakah beliau tidak yakin penjawat awam Melayu akan, atau mampu, menghalang sebarang ketidakadilan atau, mengikut perkataan Takiyuddin, ‘ketidakseimbangan’ berlaku?
Itu PAS, parti pembangkang. Tetapi Umno yang duduk dalam kerajaan pun main sentimen ras juga. Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki dalam bertanya mengapa menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya berbangsa Cina sekali gus bertanya pula “apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan untuk pilihan raya tempatan diadakan?”.
Pelik kerana takkan beliau lupa keputusan mengenai pilihan raya tempatan ditentukan perdana menteri dan Kabinet, dan presiden parti Asyraf sendiri ada dalam Kabinet bukan?
Namun saya faham Umno sedang cuba dapatkan semula sokongan Melayu. Oleh itu kenalah main sentimen ras seperti PAS. Tetapi kata Asyraf sentimen kuat berlegar di ruangan media sosial adalah suara rakyat lalu mengingatkan Anwar Ibrahim tidak memandang enteng sentimen rakyat.
Benar ada pada kalangan rakyat yang menimbulkan isu ini tetapi mereka didorong sentimen kuat yang ditiupkan politikus kerana rata-rata sang politikus yang sangat bising mengenai hal ini.
Berbalik kepada Takiyuddin. Setiausaha agung PAS itu mendakwa pemilihan menteri dan timbalan menteri Cina disebabkan ancaman DAP untuk keluar daripada kerajaan. Beliau mungkin lupa timbalan menteri bukan daripada DAP. Pun begitu rombakan Kabinet strategi kukuhkan dominasi DAP, katanya.
Bagaimanapun beberapa penganalisis yang ditemui FMT berpendapat rombakan Kabinet kali ini menggambarkan penentukuran yang menyaksikan Umno dalam keadaan lebih kuat manakala DAP dilihat hilang pengaruh.
Kata James Chin dari Universiti of Tasmania, perubahan melibatkan personaliti DAP boleh dilihat sebagai mesej kepada pengundi Melayu. “Pemindahan menteri-menteri DAP hanya boleh dibaca sebagai isyarat kepada orang Melayu di peringkat akar umbi bahawa Anwar sedang mengukuhkan pendiriannya terhadap wakil-wakil Cina dan mendorong kehadiran Melayu yang lebih kuat dalam kerajaan.”
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata turun taraf atau ‘downgrade‘ DAP bukanlah memeranjatkan kerana parti itu buat banyak tuntutan khususnya berkaitan UEC.
Daripada segi komposisi menteri, seramai 17 adalah Melayu, lima Cina, dua India, lima Bumiputera Sarawak, dan tiga Bumiputera Sabah.
Bagi jawatan timbalan menteri pula, ada 10 orang Melayu, Cina lima, India dua, Bumiputera Sarawak tujuh, dan Bumiputera Sabah enam.
Dari sudut pembahagian parti dalam kalangan menteri, sembilan daripada PKR, lima DAP, dua Amanah, lapan Barisan Nasional (baca: Umno), lima Gabungan Parti Sarawak dan seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah. Pecahan komposisi itu dikemukakan setiausaha agung Umno sendiri.
Apa pun bagi saya amat menyedihkan, membosankan dan memualkan apabila politik dan sentimen perkauman berpisah tiada. Saya bukanlah naif untuk berharap sentimen itu akan lesap suatu hari kelak. Harap saya salah. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.