`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Tuesday, December 23, 2025

Dilema mengkritik kawan demi kepentingan awam

Bolehkah kita kritik secara terbuka kawan kita supaya orang ramai tahu kita tak bersetuju dengan dasar yang masih mereka teruskan?

ronasina

Manakah teman-temanku
Yang sama berjuang dahulu
Hilang sudah, hilang sudah

Menjadi dilema bagi kawan-kawan yang dahulunya bergerak bersama dalam sebuah gerakan memperjuangkan hak — sama ada politik, pertubuhan agama, kebajikan penggiat seni atau sukan misalnya, ialah apabila kuasa bertukar tangan dan kawan-kawan yang pernah bersama kini naik duduk pula di takhta kuasa. Apabila melihat perubahan yang selama ini kita laungkan tidak juga berlaku, sebaliknya semakin parah; apa perlu kita buat?

Kebendaan menggelapkan
Lupa dengan perjuangan
Lupa sudah, lupa sudah

Kawan-kawan kita yang berada di takhta kuasa itu merupakan ‘public figure’. Mereka mempunyai ramai pengikut dan pemuja. Dalam masyarakat yang gemar memuja figura awam, salah atau benar bukan hitungannya. Yang pasti, susuk tubuh tokoh dipuja itu sentiasa betul. Kalau dikritik akan ramai yang beratur menyebelahinya.

Inilah masalah kita sebagai kawan. Apabila seorang kawan mengkritik secara terbuka, adakah itu satu tanggungjawab atau satu pengkhianatan? Ah! Dulu kau perjuangkan pendidikan percuma, hari ini kau buat apa? Dulu kau nak perjuangkan royalti minyak, bila kau naik apa pun tadak! Dulu kau nak perjuangkan royalti lagu dan hak pengkarya, kini kau menikus bila di atas!

Bolehkah kita kritik secara terbuka kawan kita supaya orang ramai tahu kita tak bersetuju dengan dasar yang masih mereka teruskan? Soalan ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak. Ini kerana mereka boleh sahaja ambil mudah dengan meninggalkan terus kawan yang ‘tak boleh pakai’. “Kita bantai saja! Apa nak takut?” kata mereka. Tetapi bagi sesetengah kita, persahabatan satu nilai yang sangat berharga. Macam adik-beradik, buruk mana pun tetap keluarga. Kasih-sayang telah terpupuk. Ada perasaan serba salah untuk menegur atau mengkritik secara terbuka. Rasa kasihan juga melihat dia dikutuk tetapi nak cakap tak sampai hati — takut tak boleh terima.

Ada pun pihak lain yang sangat seronok pula bila kita mula kritik kawan kita di puncak sana. “Yes! Diorang dah tak ngam. Dah mula membantai kawan sendiri,” kata pihak-pihak itu dengan hati yang puas. Kita pun diam serba-salah.

“Dulu kau bukan main lantang mengkritik. Sekarang bila kawan kau naik kenapa tak bising?” perli kawan sekeliling kerana tahu kita rapat dengan si polan yang kini duduk di kerusi yang kuasa — kerusi yang dipercayai berkuasa untuk melaksanakan sebuah perubahan.

“Aku tegur, aku kritik tapi taklah kat medsos. Kita wasap ‘direct’ teruslah sebab kita kenal rapat,” jawab kita menyanggah tuduhan.

“Mana boleh!” kata orang lain. “Dulu kau kritik pemimpin lama secara terbuka kerana kau kata ia melibatkan kepentingan awam. Hari ini, ia masih lagi melibatkan kepentingan orang ramai. Buat apa mesej peribadi? Ini bukan masalah putus cinta. Kalau betul berjuang, kritik terbukalah.”

Benar dan tak boleh dinafikan. Kepentingan awam wajib diberikan keutamaan. ‘Public figure’, sama ada agamawan, politikus atau seniman, tidak muncul tiba-tiba di khalayak awam. Mereka memilih untuk menjadi demikian dan membina pengaruh di mata masyarakat. Dengan pilihan yang mereka buat itu datanglah perhatian, kemasyhuran, sokongan, legitimasi, malah juga kuasa untuk dipertanggungjawabkan. Tetapi bersamanya juga datang satu harga yang tidak boleh dibuat tawar-menawar iaitu — kritikan terbuka. Bak kata Robert McCall dalam filem ‘The Equalizer’, “jika kau mengharapkan hujan, kau juga harus berdepan dengan selut dan lumpur”. Jangan nak syok-syok saja dapat kuasa — mesti bersedia menerima maklum balas sama ada positif atau negatif.

Masalahnya, dalam budaya kita, kritikan sering disalah tafsir sebagai berniat jahat. Kita kritik masakan terlebih masin di restoran pun, tauke restoran tarik muka. Inikan pula, kritikan itu datang daripada kawan sendiri. Khianat namanya. Persahabatan menuntut kesetiaan sejati, bukannya kejujuran. Jika tak sehaluan, itu bukan kawan. Jika tak betul, mesti setuju juga, begitu?

Tetapi di antara kita dan kawan kita ada jurang pemisah. Dia susuk terkenal, kita orang biasa. Hakikatnya ‘public figure’ bukan lagi sekadar kawan. Mereka juga milik masyarakat. Setiap kenyataan, tindak-tanduk, keputusan atau pendirian mereka mempunyai implikasi yang melangkaui peribadi. Maka, menilai dan mengkritik ‘peranan’ itu bukan satu serangan peribadi, sebaliknya ia sebahagian daripada wacana awam yang bersifat membina.

Di sinilah garis halus itu wujud. Kritikan yang berasas kepada kepentingan umum tidak sama dengan serangan peribadi. Menyoal dasar tidak sama dengan menghina tubuh. Mempertikai kenyataan tidak sama dengan memburukkan personaliti. Seorang ‘public figure’ yang rasional tidak boleh gagal membezakan dua perkara ini. Mereka harus faham bahawa segala kritikan itu bukanlah dendam dan segala soalan berbangkit itu bukan ancaman. Mereka seharusnya lebih bersedia dengan lapang dada mendengar kritikan ikhlas kawan yang baik.

Lebih ironi, mereka yang dahulunya paling lantang bercakap tentang demokrasi, kebebasan bersuara dan keterbukaan hari ini tiba-tiba menjadi manja, tak boleh dikritik, menyekat suara dan menutup telinga. Ada pula yang terus menjadi musuh. Macam mana ni? Mana semangat dulu?

Manakah semangat dulu
Atau hanya helahmu
Hanya palsu, hanya palsu

Inilah peranan kawan, sebagai pengkritik paling berani dan jujur, jika kita menghargai sebuah persahabatan. Ikhlas memuji bila kita berjaya dan pantas mengkritik jika kita leka. Takkanlah salah jika kawan cuba mengingatkan? Kawan bukan peguambela yang terpaksa bersilat dengan awam untuk melindungi kelemahan seseorang pemimpin atau selebriti. Jika kawan diam dan membiarkan saja, musuh mula datang, menyamar sebagai kawan dan mengambil posisi. Akhirnya, selebriti atau pemimpin seronok dibuai pujian dan bodekan sehingga sanggup menyingkirkan kawan setia yang disifatkan suka buat bising mengkritik. Penyudahnya agenda yang hendak dibawa terus hanyut.

Mana?
Mana orang kita?
Siapa?
Siapa orang kita?

Sejarah kejatuhan, entah kenapa tak pernah dipelajari oleh sebahagian besar daripada kita. Kita seakan sengaja membiarkannya terus berulang pada setiap zaman. Pemimpin jatuh atau selebriti tenggelam akibat mabuk pujian dan melupakan kawan yang setia.

Menjaga aib kawan itu perlu. Tegur-menegur itu perlu. Untuk ‘public figure’, kesnya istimewa sedikit. Mereka perlu cukup matang untuk membezakan antara hubungan peribadi dan tanggungjawab awam. Yang matang akan memahami bahawa kritikan terbuka tidak akan memadamkan persahabatan sebaliknya akan lebih merapatkan. Begitu jugalah kita, kawan si ‘public figure’ yang biasa-biasa ini. Tidak bolehlah merajuk jika kawan ‘public figure’ dilihat seakan mengabaikan kita lantaran terlalu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat yang terlalu banyak itu sehingga membataskan masa untuk diluangkan bersama kita.

“Sejak jadi wakil rakyat ni dia mana nak lepak dengan kita lagi!” sungut kita. “Dia asyik lepak dengan orang lain.”

Fahamilah, dia juga kepunyaan awam. Celik mata saja jadual penuh seharian. Mesyuarat sana-sini, rasmi program sana-sini, hadir kenduri sana-sini. Sidang dewan lagi! Tak sempat, beb!

Tetapi, si pemimpin yang sibuk ligat ini pun, takkanlah tak ada satu hari pun lapang untuk mengeteh dengan kawan setia? Kerana sokongan kawanlah awak berada di situ kerana kawan percayakan awak. Sebulan atau dua bulan takkanlah tak ada sejam untuk berjumpa dan bertanya khabar? Takkanlah apabila kuasa dah hilang nanti baru hendak muncul mencari kawan lama semula?

Kita harus bertemu
Buat rencana baru
Kita satu, kita satu

Jangan sampai, apabila terlalu sedap duduk di kerusi empuk dan memang sudah lupa dengan agenda perjuangan; kawan-kawan setia akan muak dan mula menghunus pedang kritikan paling tajam kepada kamu sehingga kamu tergolek jatuh. Ingat, sejarah akan sentiasa berulang!

Siapa? Siapa orang kita?
Mana? Mana orang kita?

*Rangkap-rangkap pendek di atas adalah bait-bait lagu ‘Siapa Orang Kita’, ciptaan dan senikata oleh M Nasir dan nyanyian kumpulan Kembara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.