Penganalisis kata tenaga politik akan terpaksa dialihkan untuk redakan konflik susulan komen Yeo Bee Yin berkait Najib Razak.

Penganalisis berkata komen Yeo yang mengundang respons Umno itu tidak pun beri nilai tambah substantif, sedangkan isu Najib bukan sekadar soal undang-undang tetapi menguji daya tahan kerajaan, yang perlu mengutamakan keharmonian menuju PRU16.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata pemimpin DAP itu mungkin mahu menegaskan pendirian anti-kleptokrasi kepada penyokong parti, namun kenyataan Yeo dilihat sebagai suatu provokasi kerana menyentuh sensitiviti Umno.
“Dari perspektif strategi kerajaan perpaduan, lebih baik elak komen sebegini dan biarkan proses undang-undang berjalan,” katanya kepada FMT.
“Walaupun dari sudut kebebasan bersuara ia sah, dari perspektif strategi kerajaan perpaduan, komen sebegini boleh melambatkan agenda reformasi kerana tenaga politik terpaksa dialihkan untuk meredakan konflik dalaman.”
Yeo menulis di Facebook, “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun di rumah berikutan sabitan kes SRC International.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Presiden Umno Zahid Hamidi menulis di Facebook: “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak.”
Ia turut mengundang kecaman Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, yang melabel tindakan Ahli Parlimen Puchong itu sebagai ‘amat kurang ajar, melampau dan langsung idak berperikemanusian’.
Asyraf berkata, mungkin sudah tiba masanya Umno menilai kembali jalinan kerjasama ‘jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno selama ini’.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata komen Yeo boleh menyusahkan Pakatan Harapan, di sebalik jangkaan akan ada ‘sedikit kerjasama’ dengan Umno pada PRU16 kelak.
“Saya pasti Umno akan menggunakan kenyataan ini — walaupun bukan daripada anggota kerajaan — sebagai senjata untuk menaikkan semangat,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.