`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, December 21, 2025

UEC – isu tak sudah

Lebih baik laporan pasukan petugas khas yang ditubuh berkait UEC ketika Maszlee Malik jadi menteri pendidikan dibentang kepada umum.

Mohsin Abdullah

Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate yang kita semua panggil UEC sudah dijadikan isu berpanjangan yang tidak nampak bayang penyelesaian sehingga kini. Malang sungguh.

UEC ialah mengenai pendidikan, tetapi ia dilihat daripada sudut elemen ras. Jangan dinafi ia dijadikan isu perkauman sekali gus politik. Orang Melayu (tidak ramai, ramai atau semua?) memandangnya dengan curiga dan sangsi – mengaitkannya dengan soal perpaduan nasional dan patriotisme.

Lalu, masalah pengiktirafannya oleh kerajaan masih tidak dapat selesai. Orang Cina bertanya jika O dan A Levels boleh diiktiraf mengapa tidak UEC? Adakah sebab UEC tanya mereka, membabitkan pelajar sekolah menengah persendirian Cina, manakala program O dan A Level ditawarkan institusi swasta guna bahasa Inggeris ? Inggeris boleh Mandarin tak boleh? tanya mereka.

Soal pokoknya pengiktirafan UEC ialah mengenai pemegang sijil itu dibolehkan untuk diterima masuk universiti awam. Semakin ramai pemegang UEC mendapati belajar di luar negara semakin makan belanja besar. Terlalu mahal. Lantas, mahu meneruskan pelajaran di universiti awam tempatan.

Lanjutan itu mahu juga pemegang UEC dibolehkan diterima kerja di sektor awam. Itu kesimpulan ringkas apa makna pengiktirafan UEC.
Tanpa pengiktirafan, tak boleh masuk universiti awam dan kerja sektor awam.

Polemik serta perdebatan patut kah UEC diberi pengiktirafan kerajaan antara memohon dan menyokong (baca orang Cina) dengan menghalang dan membantah (baca orang Melayu) sememangnya panas. Yang membangkang, tidak pernah lupa mengingatkan beberapa tahun lampau kerajaan ada membuat tawaran untuk memasukkan UEC dalam sistem pendidikan nasional, namun cadangan itu ditolak sekolah Cina persendirian.

Keputusan itu menghantui mereka sehingga ke hari ini. Saya tidak pasti sama ada timbul kekesalan.

Namun, perlu ditanya adakah pelajar bukan Cina termasuk Melayu yang belajar sukatan UEC? Saya kira ada meskipun tidak dapat dipastikan. Ada atau tidak, yang pasti bahasa Melayu sudah menjadi komponen utama sukatan mata pelajaran UEC, kata Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong.

Menurut Dong Zong, hampir semua pelajar lulus peperiksaan bahasa Melayu dalam SPM. Kata Dong Zong, bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib bagi kurikulum UEC dan pihaknya setuju dengan kerajaan bahawa pelajar perlu mendapat kredit dalam peperiksaan SPM.

“Tahun-tahun kebelakangan ini kadar lulus pelajar sekolah persendirian Cina dalam mata pelajaran BM SPM melepasi 96%”, kata Dong Zong menerusi kenyataan, baru baru ini.

Dan katanya, Dong Zong juga menubuhkan sebuah pasukan bersama sama Pertubuhan Ikram Malaysia khusus untuk meningkatkan kemahiran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan lepasan sekolah persendirian Cina.

Apa pun di Sarawak kerajaannya memang iktiraf UEC. Agak lama juga sijil itu sudah diperakui. Adakah kerana orang Melayu bukan majoriti di Sarawak?

Melayu bukan majoriti betul. Tetapi, kepimpinan kerajaan dianggotai orang Melayu. Premier Sarawak orang Melayu. Mulanya, saya ingat Abang Johari adalah masyarakat Melanau, tetapi diperbetulkan oleh kawan lama asal Sarawak.

Kata si kawan lama , Melayu Sarawak tetap Melayu seperti Melayu dengan berbahasa Melayu meskipun ada dialek sendiri. Ertinya, macam Melayu Kelantan, Negeri Sembilan , Kedah, dan lain negeri masing masing ada loghat.

Saya menyimpulkan dalam soal UEC Melayu Sarawak berpandangan terbuka.

Di Sabah, Warisan ketika memerintah telah memberi pengiktirafan kepada UEC pada 2019. Orang Melayu Sabah tidak membantah? “Secara amnya tidak ada kumpulan etnik Melayu di Sabah seperti Melayu di Semenanjung”, kata penganalisis politik Oh Ei Sun anak kelahiran Sabah.

Katanya, ada komuniti yang berbahasa, dialek, dan adat tersendiri, namun beragama Islam. Seperti Bajau Darat. Antara tokoh terkenal mereka ialah Said Keruak dan anaknya Salleh. Ada juga Suluk seperti Mustapha Harun dan Shafie Apdal.

Suluk juga dipanggil Bajau Laut. Kemudian ada Orang Sungai (Allahyarham Bung Moktar Radin ), Dusun (Masidi Manjun ), Murut (Pandikar Amin Mulia). Ada juga komuniti yang dipanggil ‘Pakistan’ seperti Musa Aman dan adiknya Anifah.

Kesimpulannya, mereka juga rata-rata berpandangan terbuka mengenai UEC. Tiada bantahan apabila sijil itu diiktiraf kerajaan Sabah dulu dan sekarang pimpinan Hajiji Noor yang ada hubungan rapat dengan kerajaan pusat.

Yang menariknya, semasa pengiktirafan dibuat pada 2019, Sabah diperintah Warisan yang waktu itu sebahagian Pakatan Harapan yang menang PRU 2018. Ketua menterinya, Shafie Apdal.

Persoalan logik menyusul waktu itu ialah adakah kerajaan pusat diterajui Pakatan Harapan pimpinan perdana menteri ketika itu, Mahathir Mohamad akan ambil langkah sama?

Ketika itu jawapannya ‘belum ada keputusan’. Lalu, kerajaan pusat menerusi Kementerian Pendidikan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk mengumpul maklum balas, maklumat relevan, dan membuat rekomendasi mengenai isu UEC. Pasukan itu dipengerusi penulis dan aktivis seni budaya, Eddin Khoo.

Pasukannya telah menemu bual 72 individu dan pertubuhan. Juga menemui Ahli Parlimen. Laporan mengandungi 10,000 perkataan sudah lama siap. Tetapi, berlaku pertukaran kerajaan. Ingat Langkah Sheraton? Kemudian berlaku pandemik Covid 19. Laporan tidak dapat diserahkan kepada kerajaan yang ambil alih.

Sebelum cerita lanjut pasal laporan itu, kerajaan Melaka diterajui Pakatan Harapn telah ambil keputusan mengiktiraf UEC.

Kata ketua menteri Melaka waktu itu, Adly Zakaria, pemegang UEC akan diambil menyertai sebagai penjawat awam negeri . Beliau tidak menyentuh soal sama ada pemegang UEC boleh memohon masuk pusat pengajian tinggi awam.

Sekadar berkata buat masa itu, pengiktirafan dihadkan kepada pentadbiran negeri dan akan dilanjutkan ke aspek lain dari masa ke masa.

Adakah kerajaan Melaka sekarang pimpinan orang BN/Umno Ab Rauf Yusoh berpegang dengan keketapan kerajaan Adly? Setahu saya tidak ada pemberitahuan pengiktirafan itu ditarik balik. Adakah saya betul? Beralih kerajaan Selangor Pakatan Harapan. Tidak ada pengiktirafan secara rasmi pada peringat negeri (setahu saya), tetapi Universiti Selangor lebih dikenali sebagai Unisel mengiktiraf UEC. Unisel adalah milik penuh kerajaan Selangor.

Berbalik soal laporan pasukan petugas khas disebut tadi, Maszlee Malik yang menjadi menteri pendidikan semasa pasukan berkenaan ditubuhkan, baru-baru ini mencadangkan laparan itu diumumkan.

Katanya, memandangkan polemik pengiktirafan UEC kembali lagi elok diberikan ruang kepada pasukan berkenaan membentang laporan kajian secara terbuka dan perbincangan juga diadakan secara terbuka agar rakyat boleh menilai.

Saya setuju. Apa pun yang perlu dilakukan harap lakukanlah. Masalah ini sudah dibiar berlarutan sekian lama. Tidak bagus untuk negara. Tiba masa ia dinoktahkan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.