`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Saturday, December 20, 2025

Petua 2: Permudahkan mesej, barulah propaganda

Dalam dunia politik hari ini siapa yang mengawal gambar dalam kepala rakyat maka dialah yang mengawal realiti.

zohdi budiman sang propagandis

Walter Lippmann, wartawan dan pemikir politik Amerika Syarikat pernah menulis dalam karya klasiknya Public Opinion (1922) bahawa manusia tidak bertindak berdasarkan dunia sebenar, tetapi berdasarkan ‘gambar dunia dalam kepala mereka’. Katanya, dunia yang kita fahami bukanlah realiti sebenar, sebaliknya versi realiti yang disusun oleh elit media, pengaruh politik, dan pihak berkepentingan.

Lippmann memanggilnya pseudorealiti iaitu realiti palsu yang nampak benar kerana diulang setiap hari. Apabila dunia menjadi terlalu kompleks, manusia mencari jalan pintas untuk memahami apa yang berlaku. Mereka mahu cerita mudah, bukan penjelasan panjang.

Kalau rakyat pening tentang ekonomi, cukup sekadar berikan satu frasa yang kedengaran positif seperti ‘kerajaan dalam keadaan stabil’. Tak perlu graf, angka atau istilah teknikal. Otak manusia lebih suka ayat ringkas yang mudah diingat.

Inilah sebabnya slogan kepimpinan seperti ‘Kita Jaga Kita’, ‘1Malaysia’, atau ‘Malaysia Madani’ sedap di telinga rakyat.

Ia tidak semestinya menjawab persoalan sebenar, tetapi memberi rasa arah dan ketenangan moral. Mesej yang ringkas, positif dan berulang akan membina imej kepimpinan, melalui rasa percaya.

Emosi

Harold Lasswell, pengkaji propaganda Perang Dunia 1, berkata mesej propaganda terbaik bukanlah yang paling logik, tetapi yang paling beremosi. Propagandis yang berkesan perlu mahir membina naratif yang ringkas dan padat, termasuk mengaitkannya dengan emosi. Emosi positif seperti sayang, suka dan simpati dan emosi negatif seperti marah, benci dan takut perlu diadun dalam naratif.

Naratif yang berkesan perlu kreatif dalam penyampaian termasuklah pemilihan perkataan, warna dan mudah ditaakul oleh minda. Bagi Lasswell, manusia lebih mudah digerakkan oleh simbol seperti bendera, lagu, warna, logo yang diemosikan berbanding hujah. Lebih membingungkan lagi jika hujah tersebut direncah dengan angka dan statistik.

Semasa situasi perang, kerajaan menggambarkan musuh sebagai ‘jahat’ atau ‘ancaman bangsa’ supaya rakyat bersatu tanpa banyak soal. Dalam dunia politik hari ini, bentuknya berubah kepada wajah calon di papan iklan, hashtag di media sosial, atau slogan yang diulang dalam setiap ucapan.

Prinsipnya tetap sama iaitu mesej mesti pendek, mudah, dan konsisten.

Apabila sesuatu simbol atau frasa diulang, ia menjadi truth effect, ia dipercayai benar hanya kerana sering kedengaran. Maka tidak hairan jika politik moden lebih banyak bermain dengan perasaan daripada fakta.

Politik sebagai persembahan

Edward Bernays, anak saudara Sigmund Freud antara tokoh penting dalam dunia propaganda moden, menulis bahawa politik sebenarnya satu pentas persembahan besar. Maknanya akan ada pelakon, penonton dan skrip.

Ahli politik perlu membina imej terlebih dahulu agar dikenali dan disukai rakyat, disusuli dengan naratif yang berulang-ulang. Ahli politik akan hidup dengan imej dan slogan.

Dalam bukunya Propaganda (1928), Bernays menjelaskan bahawa rakyat percaya mereka membuat keputusan sendiri, padahal pilihan mereka telah disusun melalui naratif yang diulang tanpa henti.

Bernays memahami psikologi bawah sedar manusia: kita lebih mudah tersentuh oleh perasaan daripada logik. Maka, mesej politik yang berjaya mestilah menyentuh emosi dan bukan menyuap fakta.

Sebab itu mesej seperti ‘Rakyat Didahulukan’ atau ‘Keluarga Malaysia’ tampak lembut dan berperikemanusiaan. Ia mencipta imej moral dan emosi empati, walaupun tanpa pelan dasar yang jelas.

Apabila mesej ini diulang dalam media, billboard dan TikTok, ia berubah menjadi memori kolektif seolah-olah rakyat benar-benar mempercayainya.

Dunia terlalu rumit, maka mesej perlu mudah

Ahli falsafah Perancis, Jacques Ellul, pula menegaskan dalam The Formation of Men’s Attitudes (1965) bahawa manusia moden tidak boleh hidup tanpa propaganda.Bukan kerana kita tidak cerdik, tetapi kerana maklumat terlalu banyak untuk dihadam.

Propaganda menjadi ‘peta ringkas’ untuk kita memahami dunia yang penuh kekeliruan.

Ellul berkata, propaganda moden tidak semestinya jahat. Ia boleh menjadi alat untuk menyatukan masyarakat dan memberi makna bersama. Contohnya slogan seperti ‘Kita Jaga Kita’ ketika Covid-19, walaupun ringkas, ia membentuk identiti dan moral kolektif.

Apabila mesej ini diulang, otak manusia menanam rasa tenteram, seolah-olah kestabilan datang daripada pengulangan itu sendiri. Mesej ini bakal dipupuk dengan emosi. Jiwa patriotik dengan emosi sayangkan negara, akan membina keyakinan diri tanpa banyak soal.

Media dan ilusi kebenaran

Apabila dunia bergerak ke era media massa, propaganda berubah bentuk. Noam Chomsky dan Edward Herman dalam Manufacturing Consent (1988) menunjukkan bagaimana media arus perdana mengawal ‘pintu cerita’ digunakan untuk mengulang mesej yang menguntungkan elit politik dan korporat selaku pemilik media.

Media tidak perlu menipu secara langsung. Cukup dengan mengulang naratif yang sama seperti ‘musuh luar cuba menggugat negara’. Bila mesej ini diulang dalam berita, sidang media, dan ucapan rasmi, lama-kelamaan ia membentuk ilusi realiti. Rakyat percaya bukan kerana ada bukti, tetapi kerana sudah biasa mendengar.

Bahasa lembut, makna tersembunyi

Ahli falsafah dari Yale University, Jason Stanley, dalam bukunya How Propaganda Works (2015), menyambung tradisi ini ke abad ke-21. Beliau menulis bahawa propaganda moden tidak lagi kasar seperti dulu; ia dibungkus dalam bahasa lembut, samar dan terselubung.

Apabila kerajaan menyebut ‘subsidi bersasar’, bunyinya strategik tetapi maksud sebenar mungkin ‘subsidi dikurangkan’. Apabila media mengulang ayat ‘pelabur akan lari jika kerajaan bertukar’, mesej sebenar bukan tentang pelabur, tetapi tentang menanam rasa takut terhadap perubahan.

Stanley menyebut, inilah cara propaganda moden menutup ruang perbahasan awam. Apabila bahasa yang kabur diulang-ulang, rakyat berhenti bertanya. Ia mencipta closing off debate. Sebuah dunia tanpa perbincangan, hanya kepercayaan yang diulang.

Kesimpulan: Kuasa ulangan, kesederhanaan dan emosi

Akhirnya, propaganda bukan tentang siapa yang berbohong, tetapi siapa yang paling berjaya memudahkan mesej, mengulangnya dengan disiplin dan kaitkan dengan emosi. Manusia jarang percaya sesuatu kerana ia benar; kita percaya kerana ia kedengaran betul, dan kerana kita dengar terlalu kerap.

Apabila sesuatu istilah atau naratif diulang dengan konsisten, ia menjadi ‘kenyataan sosial’ bukan lagi isu yang boleh dibincangkan, tetapi kepercayaan bersama yang dianggap mutlak. Di sinilah letaknya kelihaian propaganda.

Seperti yang ditulis oleh Walter Lippmann seabad lalu: “The pictures in our heads matter more than the facts outside.”

Dalam dunia politik hari ini, siapa yang mengawal gambar dalam kepala rakyat maka dialah yang mengawal realiti. Jadi, jika anda mahu membikin propaganda, ingat petua 2: ‘Permudahkan mesej. Ulang dan sampaikan dengan emosi. Sebarkan seramai mungkin supaya orang lain percaya ia sebagai kebenaran’. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.