Sebarang keputusan berkaitan hal ehwal Wilayah Persekutuan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan jaminan hak Bumiputera.

Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata isu berkaitan pelantikan menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan tidak seharusnya dijadikan modal perkauman, walaupun mengakui wujud sentimen tertentu dalam kalangan masyarakat berhubung perkara itu.
Katanya, perkara paling mustahak ialah isu itu perlu dinilai secara tuntas kerana ia boleh melibatkan permainan sentimen yang menguntungkan pihak tertentu jika tidak ditangani dengan berhati-hati.
“Setiap apa juga yang nak dilakukan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri hal-hal Wilayah Persetujuan mesti dirujuk kepada beliau (perdana menteri),” katanya pada sidang media selepas melancarkan produk Ready-To-Eat (RTE) Aris Burger di di Kompleks Usahawan Mara, Batu Muda, Batu Caves.
“Saya telah sebutkan ini adalah sentimen-sentimen yang berlaku dan saya kira perdana menteri telah pun memberikan responsnya,” katanya mengulas dakwaan ada pihak mempolitikkan pelantikan Hannah Yeoh sebagai menteri Wilayah Persekutuan.
Rombakan Jemaah Menteri Selasa lalu membabitkan 28 menteri dan timbalan menteri, dengan Yeoh bertukar portfolio daripada belia dan sukan kepada JPM (Wilayah Persekutuan), yang mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk pembangkang.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendakwa pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina dalam portfolio Wilayah Persekutuan adalah percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain.
Selain Yeoh, rombakan Kabinet menyaksikan pelantikan Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui (GRS) sebagai timbalan menteri, sementara pengekalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Takiyuddin mendakwa, pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.
Mengulas lanjut, Asyraf menegaskan, kerajaan perlu memastikan kebajikan penduduk bandar serta hak Bumiputera terus dipelihara, selaras jaminan diberikan perdana menteri.
Katanya, hal ehwal Wilayah Persekutuan kekal berada bawah bidang kuasa JPM dan sebarang tindakan atau dasar oleh menteri mesti dirujuk kepada perdana menteri.
“Ini antara perkara perlu diberikan perhatian kerana apa juga langkah yang akan dilakukan oleh JPM khususnya melibatkan hal-hal Wilayah Persekutuan pastinya akan diperhatikan secara dekat oleh banyak pihak,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan Perhimpunan Agung Umno akan diteruskan seperti dijadualkan pada 14 hingga 17 Jan walaupun tarikh tersebut bertindih dengan tempoh kempen PRK Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
Beliau berkata, keputusan dibuat hasil mesyuarat Biro Politik Umno yang kemudian dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) minggu lalu, selaras peruntukan perlembagaan parti.
Bagaimanapun, katanya kelonggaran diberikan kepada perwakilan dari Sabah untuk sama ada hadir secara fizikal atau menyertai perhimpunan secara dalam talian.
“Ini bagi memastikan perwakilan Sabah tetap dapat mengambil bahagian walaupun tarikh perhimpunan berada di tengah-tengah siri kempen. Insya-Allah, semuanya telah direncanakan dengan baik,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.