`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Friday, December 19, 2025

Mara tumpu R&D perkasa produk Bumiputera, kata pengerusi

Asyraf Wajdi Dusuki berkata bantuan biaya, khidmat nasihat, dan pemantauan tidak cukup perluas jangkauan produk keluaran Bumiputera.

Pengerusi M Asyraf Wajdi Dusuki bersama Pengasas Aris Burger, Haris Embong pada majlis pelancaran di Kompleks Usahawan Mara, Batu Caves.
KUALA LUMPUR:
 Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menjadikan pengukuhan penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara fokus utama tahun depan bagi menyokong pengembangan perniagaan usahawan Bumiputera.

Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pendekatan tersebut penting kerana bantuan pembiayaan, khidmat nasihat, dan pemantauan semata-mata tidak mencukupi tanpa asas kukuh R&D.

“Usahawan bukan sekadar memasarkan produk, tetapi mesti diperkasakan dari segi penyelidikan, inovasi, dan pembangunan produk,” katanya selepas melancarkan produk Ready-to-Eat (RTE) Aris Burger di Kompleks Usahawan Mara, Batu Caves.

Asyraf berkata, pelancaran RTE Aris Burger yang kini telah menembusi pasaran kedai serbaneka 7-Eleven dan stesen minyak antara contoh kejayaan usahawan Mara hasil kerjasama strategik dalam R&D.

Beliau berkata, produk itu dibangunkan menerusi kerjasama penyelidikan bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), justeru membuktikan kepentingan hubungan rapat usahawan dan institusi pendidikan tinggi.

“Inilah inisiatif yang kita rasa amat mustahak, iaitu penghasilan produk disokong R&D melalui kerjasama pelbagai pihak, termasuk sektor pendidikan tinggi,” katanya.

Menurutnya, Mara baru-baru ini mengadakan mesyuarat peringkat majlis yang memutuskan R&D akan dijadikan teras utama dalam agenda pembangunan usahawan tahun depan.

Beliau berkata, fokus tersebut bertujuan membantu lebih ramai usahawan meningkatkan kualiti produk, menambah nilai, dan mengembangkan perniagaan ke pasaran lebih luas.

“Asas paling penting untuk melonjakkan potensi produk usahawan ialah R&D yang kuat,” katanya.

Sementara itu, Aris Burger hari ini melancarkan produk RTE sebagai langkah strategik memenuhi permintaan pengguna terhadap makanan halal yang mudah, berkualiti, dan diyakini.

Pengasasnya, Haris Embong, berkata pengenalan produk itu adalah respons kepada perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin pantas, khususnya dalam kalangan pengguna bandar dan keluarga bekerja.

“Sebagai jenama Bumiputera, kami komited membangunkan produk yang bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, malah berdaya saing di peringkat global,” tambahnya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.