Sistem Adat Perpatih yang terkenal sebagai sistem matrilineal memberi kuasa kepada seorang 'matriarch', atau seorang induk perempuan; semacam seorang penghulu wanita yang mempunyai kuasa untuk menentukan.

Dalam krisis kepimpinan di Negeri Sembilan yang tercetus berakibat dari tindakan Undang Berempat memecat Yamtuan atau Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ada satu hakikat yang dilupakan oleh pembesar-pembesar adat ini. Memang Undang Sungei Ujong, Undang Rembau, Undang Jelebu dan Undang Johol masing-masing mempunyai kuasa untuk memecat Yamtuan, tetapi seperkara yang sering disalahertikan adalah bahawa Dato’ Undang itu kononnya mempunyai kuasa mutlak.
Sistem Adat Perpatih yang terkenal sebagai sistem matrilineal memberi kuasa kepada seorang ‘matriarch’, atau seorang induk perempuan; semacam seorang penghulu wanita yang mempunyai kuasa untuk menentukan. Beliau tidak lain tidak bukan Ibu Soko. Watak ini, yang kurang dikenali oleh mereka di luar Negeri Sembilan adalah watak khas yang jarang menjelma, tetapi penjaga adat tertinggi. Mereka penentu moral, seakan-akan hakim bahkan merupakan sumber hukum dalam Adat Perpatih dan mampu menundukkan para Dato’ Undang berjantina lelaki yang egoistik.
Kepimpinan Ibu Soko meskipun muncul sekali-sekala itu bentuk kepenghuluan yang penuh kuasa. Dalam satu artikel berjudul ‘Kepemimpinan Ibu Soko Berdasarkan Kerangka Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran’, Sri Qamariah Mohd Samsir iaitu pengarang dari Universiti Teknologi Mara menegaskan Ibu Soko itu “ibu-ibu waris yang berkuasa kerana mereka merupakan ketua adat yang menentukan pemerintahan di setiap wilayah dan kawasan yang berkenaan”.
Meletakkan kepimpinan wanita sebagai tunjang institusi kekeluargaan yang kelak akan membentuk menjadi unit kemasyarakatan dan seterusnya sebuah negeri bukanlah sesuatu yang aneh dan asing dalam Islam. Malah, dalam sejarah Islam penentuan begini berlaku di masa gawat dan genting.
Dalam tradisi Adat Perpatih, Ibu Soko seharusnya seorang wanita matang, berilmu, serta berpengalaman untuk dirujuk. Kata ‘Soko’ membawa maksud pusaka yang diamalkan dan yang digunakan dalam kehidupan sepanjang masa. Dalam hal ini, undang-undang itu sendiri satu bentuk pusaka dalam kehidupan.
Ibu Soko selalunya dilantik dalam kalangan wanita yang dilihat benar dalam perbuatan, waras dan adil, jujur dengan adat, cerdik cerdas, berakal budi, bijak dan petah berhujah, dapat menjadi pewaris kelangsungan adat selain tahu mendidik dan mengenal saudara mara, kerabat dan suku. Sebagai pakar, kebiasaannya dalam sesuatu suku akan ada tiga orang Ibu Soko. Kadang hanya seorang. Mereka dilantik muktamad dan mutlak serta dianggap ‘perpustakaan bergerak’. Pelantikan mereka tidak memerlukan pengesahan, cukup sekadar memaklumkan kepada Buapak dan juga Lembaga.
Dalam kehidupan harian, Ibu Soko memainkan peranan besar dalam upacara dan adat perkahwinan. Mereka juga menentukan pelantikan Buapak dan Lembaga yang akan melantik Undang. Penentuan Ibu Soko itu melalui asal keturunan seseorang. Mereka juga memastikan keturunan dalam kalangan ahli masyarakat akan menjadi orang berguna, tidak korup, atau bukan kaki kencing misalnya. Justeru, sekiranya seorang Ibu Soko mempertikaikan tarikh nikah dan taraf sah seseorang sebagai misalan, ia tentu membawa kepada satu argumen yang penting. Ini kerana dalam Adat Perpatih, keturunan yang benar dan jernih sangat mustahak. Ibu Soko juga disifatkan sebagai pihak yang menentukan hubungan erat agama dan adat kerana wanita-wanita ini contoh mithali dalam keluarga dan suku.
Peranan besar dan penting begini menjadi terhormat kerana Ibu Soko ditugaskan menjadi pemelihara harta pusaka, dalam banyak keadaan adalah penguasa tanah dan rumah. Sebagai seorang dari suku Tiga Batu Lubok Kepong, saya berkesempatan melihat kukuh dan gigihnya kepimpinan wanita ini menerusi moyang perempuan saya, Puan Hawa Binti Dali. Beliau meninggal dunia dalam usia lebih seratus tahun.
Menurut mantan Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Rosli Saludin dalam Naning Luak Terbilang (2007), Ibu Soko itu mempunyai kuasa yang istimewa dan tersendiri. Bahkan kuasanya tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun. Di dalam segala hal Adat Perpatih pengesahan daripada Ibu Soko adalah penting. Dalam hal-hal harian seperti perkahwinan, sesebuah kenduri tidak boleh dilangsungkan jika tidak beroleh restu Ibu Soko.
Oleh sebab Adat Perpatih berasal dari rantau Minangkabau, penting juga untuk kita melihat bagaimana pengamalan Ibu Soko yang dipanggil Bundo Kanduang. Bundo bermaksud “Ibu” manakala Kanduang bermaksud “sejati”. Fungsi Ibu Soko itu mahir dalam salasilah, mempunyai pengalaman yang banyak dan mempunyai tanggungjawab yang besar. Di Minangkabau, jika terdapat masalah di dalam suku, Ibu Soko orang yang akan menjadi pakar rujuk. Ini bermakna kedudukan Ibu Soko dan Bundo Kanduang serupa.
Bagaimana jadinya kalau-kalau Dato’ Undang yang terlanjur memecat Yamtuan itu pula alih-alih sudah atau akan dipecat oleh Ibu Soko?
Muhammad Iqbal Haq Ibrahhim dan Ermy Azziaty Rozali dalam penyelidikan bertajuk ‘Sumbangan Dato’ Undang Musa Al-Haj Kepada Masyarakat Majmuk di Jelebu, Negeri Sembilan’ menyatakan pelantikan seseorang Dato’ Undang memanglah dasarnya akan dilaksanakan serta dijalankan oleh Buapak dan Lembaga. Namun kuasa Undang tidak mutlak, malah Undang juga boleh dipecat oleh anak-anak buah yang terdiri daripada Ibu Soko. Kajian ini menemukan peranan dan kuasa Ibu Soko adalah besar meskipun jarang-jarang digunakan.
Selain itu, kajian Fithriah Wardi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan judul ‘Pengaruh Sistem Matrilineal Dalam Adat Negeri Sembilan: Perspektif Syarak’ menyatakan ‘tiang seri’ dalam perbilangan Adat Perpatih adalah merujuk kepada Ibu Soko. Justeru mereka diberi tempat utama serta dimuliakan:
Tiang seri rumah pusaka,
Pusat jala kumpulan tali,
Semarak dalam kampong,
Hiasan dalam negeri.
Tidaklah menghairankan jika dalam hal krisis perlembagaan Negeri Sembilan yang tercetus antara Undang Sungei Ujong (dan kemudian Undang lainnya) dengan Yamtuan atau Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan iaitu Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sabda pemecatan para Undang terhadap Yamtuan itu awal-awal tersanggah dan dianggap tidak sah. Bahkan rentetan dari itu, Telaga Undang Luak Sungei Ujong, Sarifah Norzaidah Al-Qadri menyatakan Undang itu sendiri telah dipecat atas pelbagai kesalahan.
Pemecatan terhadap Undang Sungei Ujong, Mubarak Thahak dibuat mulai 13 Mei 2025 mengikut Fasal 7 Undang-undang Sungei Ujong dan ia sejajar dengan amalan sistem Waris Berundang diguna pakai oleh Luak Sungei Ujong sejak ratusan tahun lalu. Ekoran dari itu, Ibu Soko menasihati Dewan Keadilan dan segala pentadbiran adat Waris di Darat Luak Sungei Ujong dibawa ke rumah Telaga Undang. Perintah ini terpakai dalam undang-undang adat, dan agak mustahil untuk seseorang seperti Rais Yatim yang sering mendakwa diri terpaling faham mengenai undang-undang adat Negeri Sembilan tidak mengetahuinya.
Penetapan ini juga menjadi bukti bahawa tindakan memalukan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dari Umno yang menangguk di air keruh. Ini dilakukan ketika kuasa matriarki iaitu Ibu Soko berserta pembesar adat di Negeri Sembilan sedang berhempas pulas menyelesaikan tingkah laku segelintir kaum lelaki di luak-luak Negeri Sembilan. Pemimpin Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, sepatutnya malu dengan tindak tanduk sendiri malah nampaknya seisi negara geleng kepala melihat perangai mereka di kala negara sedang bersatu berdepan dengan krisis tenaga dan kerusuhan perang ekoran konflik di Asia Barat.
Di Negeri Sembilan negeri beradat kita tahu tiada ruang untuk melakukan perbuatan tikam belakang, khianat apatah lagi perkara tebuk atap. Ibu Soko, wanita berkuasa dalam Adat Perpatih tidak akan membenarkan ia berlaku. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.