Calon DUN Simpang Jeram Ainie Haziqah Shafii berkata pembangunan ekonomi Johor tidak harus tertumpu di selatan.

Ini memandangkan ramai anak muda negeri itu masih melihat Johor Bahru atau Singapura sebagai pilihan utama untuk mendapatkan pendapatan lebih baik.
Ainie Haziqah, 36, berkata pembangunan ekonomi di Johor tidak seharusnya tertumpu di kawasan selatan semata-mata, sebaliknya perlu lebih seimbang di daerah meliputi Johor utara antaranya Muar, Tangkak, Segamat dan Batu Pahat.
Katanya, ketika ini kawasan selatan seperti Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi dilihat lebih banyak menerima limpahan pembangunan, peluang industri serta akses pekerjaan.
Beliau mengakui Johor mempunyai beberapa inisiatif pekerjaan, namun realitinya masih ramai anak muda dan penduduk terpaksa keluar bekerja ke Singapura atau berpindah ke Johor Bahru demi mencari pendapatan lebih baik.
“Keadaan ini menunjukkan kerajaan negeri perlu menilai sama ada dasar dan program pekerjaan sedia ada benar-benar memberi kesan kepada rakyat di peringkat akar umbi, khususnya di kawasan luar tumpuan pembangunan utama.
“Kalau hari ini kita biasakan naratif bahawa…kalau mahu gaji tinggi perlu pergi Singapura, adakah itu yang kita mahu normalisasikan?
“Penting untuk kerajaan negeri memainkan peranan melihat peluang pekerjaan untuk anak muda, bukan sekadar mengumumkan inisiatif,” kata setiausaha agung Muda dalam temu bual FMT.
Dalam konteks DUN Simpang Jeram, Ainie Haziqah berkata isu pekerjaan antara perkara utama dibangkitkan penduduk selain perumahan, kos sara hidup dan peluang perniagaan setempat.
“Simpang Jeram dan kawasan sekitar Muar mempunyai potensi untuk dibangunkan, namun memerlukan wakil rakyat mampu mengangkat keperluan kawasan itu secara konsisten,” katanya berazam menjayakannya jika diberi mandat pada 11 Julai ini.
Ainie Haziqah berdepan pertandingan empat penjuru menyaksikan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan penyandang Nazri Abdul Rahman manakala Barisan Nasional (BN) Azman Ismail dan Perikatan Nasional (PN) Arshed Yahya.
Pada PRN 2022, kerusi itu dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub dengan majoriti 2,399 undi, sebelum PH mempertahankannya melalui Nazri pada PRK 2023 dengan majoriti 3,514 undi.
Sebagai ibu kepada tiga anak, beliau berkata tekanan keluarga muda hari ini bukan sekadar membabitkan harga barang, tetapi juga kos taska, tadika, transit sekolah, tuisyen dan pengangkutan.
Katanya, isu itu semakin penting di Simpang Jeram yang mempunyai ramai pengundi muda dan wanita.
“Sebagai ibu muda, saya boleh memahami tekanan itu. Ramai keluarga muda tidak mempunyai sokongan yang cukup, dan suara mereka perlu dibawa,” katanya.
Menurutnya, manifesto Muda akan memberi tumpuan kepada isu benar-benar dibangkitkan penduduk khususnya pekerjaan, perumahan, kos sara hidup, wanita dan keluarga muda.
“Muda tidak mahu sekadar menawarkan janji 100 hari, sebaliknya melihat mandat wakil rakyat sebagai tanggungjawab lima tahun untuk membawa perubahan berterusan.
“Bagi saya, kerja sebagai Adun bukan diukur hanya dalam 100 hari tetapi sepanjang lima tahun, dengan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.