`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

21 JUNE 2026

Thursday, July 9, 2026

Amerika dengan kita

 Malaysia tak anggap AS musuh dan AS tak anggap Malaysia musuh.

Mohsin Abdullah

Ini bukan mengenai kemarahan ramai antara kita – rakyat Malaysia- terhadap ‘permintaan’ Donald Trump kepada Fifa supaya ‘kaji semula’ kad merah ke atas pemain AS Folarin Balogun tempoh hari. (sebenarnya bukan rakyat Malaysia sahaja yang marah).

Ini mengenai hubungan AS dengan Malaysia keseluruhannya dan secara am. Kita tidak bergaduh, bersengketa, apa lagi berperang dengan Amerika. Malaysia sejak zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman tidak pernah anggap AS sebagai musuh.

Tetapi, memang ada ketidakpersetujuan malah bantahan Malaysia terhadap beberapa dasar dan tingkah laku AS. Hanya kerana berbaik dengan Washington tidak bererti kita setuju dan sokong semua yang dilakukan Amerika. Kedua-dua negara bersetuju untuk tidak setuju.

Lantas AS juga tidak menganggap Malaysia sebagai musuh meskipun pasti terasa hati dan tidak berkenan tentang beberapa pendirian negara. Umpamanya – dasar pro-Palestin anti-Israel kita. Ini saya rasa ini sebab utama kemesraan AS terhadap Malaysia tidak semesra mereka dengan Singapura. Misalnya.

Namun, mesra tetap mesra dan hubungan AS-Malaysia seperti dikatakan tadi memang baik. Sekarang dilaporkan berada pada tahap ‘sangat’ baik dan dinamik.

Tempoh hari sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS, satu bentuk kerjasama unik terjalin – menggabungkan lagu patriotik ‘America the Beautiful’ dengan lagu patriotik Malaysia ‘Tanah Pusaka’.

Amat menarik. Videonya ada dalam laporan ini, siaran FMT tiga hari lalu. Ia hasil kolaborasi pemuzik AS dan Malaysia.

Jelas, kedutaan AS di Kuala Lumpur menggunakan muzik bagi mendekati rakyat Malaysia di luar lingkungan diplomatik.

Apa pun tidak dinafikan ada kesangsian kerajaan dan terutama dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap apa jua yang membabitkan Amerika. Bagai ungkapan ‘baik-baik juga sangsi-sangsi juga’.

Sebagai contoh, kehadiran Trump di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean tahun lalu. Ada rakyat kita yang tidak senang. Mereka juga tidak suka keakraban atau lebih tepat kemesraan ditunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap Trump.

Secara peribadi saya tidak pula tahu sama ada dalam kalangan rakyat Malaysia berkenaan mahu negara tidak berbaik dengan AS. Atau mahu Malaysia bermusuhan dengan negara ‘super power’ itu?

Tetapi, kesangsian serta bantahan ke atas Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara Malaysia dan AS memang ‘justified’. Dan sememangnya perjanjian itu sudah dibatalkan oleh kerajaan Malaysia berikutan penilaian semula bahawa ia tidak mendatangkan manfaat ekonomi serta didakwa ‘membelakangi’ kedaulatan negara.

Ringkasnya, kesangsian kerajaan terutama rakyat ke atas AS sentiasa ada walaupun hubungan dengan AS diakui baik.

Satu lagi contoh – ini yang terbaru. Pada 2 Julai lalu diberitakan Kuasa Usaha Kedutaan AS di Kuala Lumpur David H Gamble Jr berkata negaranya akan menyumbang RM1 juta bagi projek restorasi Tugu Negara.

Gamble menyifatkan sumbangan itu ialah daripada kerajaan dan rakyat AS sebagai hadiah kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan tahun depan. Satu ‘goodwill gesture’ yang lazimnya harus disambut baik oleh kita semua.

‘But its not that simple as it appears to be’. Lalu timbul pertanyaan adakah Malaysia menerima sumbangan itu? Ketika PMX ditanya media 3 Julai lalu Anwar berkata “nanti kita bincang dalam Kabinet minggu depan.”

Jelas, Malaysia berhati-hati dalam membuat keputusan sama ada mahu menerima sumbangan itu.

Pada hemat saya, sifat ‘cautious’ itu bagi mengelak komplikasi kerana sumbangan membabitkan monumen yang dibina untuk memperingati perajurit yang gugur mempertahankan kedaulatan negara. Sumbangan pula daripada negara asing.

‘For the record’ Tugu Negara dihasilkan artis Amerika Felix de Weldon yang turut mereka bentuk Marine Corps War Memorial di Arlington Virginia. Tugu Negara Malaysia dibina pada 1963 dan siap tiga tahun kemudian.

Iya ini soal pengorbanan perajurit dan kedaulatan tanah air. Tetapi tolak sumbangan akan dilihat oleh AS sebagai satu ‘snub’. Mengikut protokol diplomasi ‘snub’ seakan meremeh atau menghina.

Wartawan veteran A Kadir Jasin bertanya menerusi Facebook: “Apa perasaan tuan dan puan kerajaan Madani terima RM1 juta untuk baik pulih Tugu Peringatan Negara?”

Kadir menggunakan nama lama atau nama asal monumen bersejarah itu. Apa pun mungkin persoalam beliau akan lebih tepat kalau beliau selitkan perkataan ‘jika’ yakni “jika kerajaan terima sumbangna AS”. Ini kerana semasa pertanyaan diajukan kerajaan belum buat keputusan.

Apa pun ada ‘tuan dan puan’ yang komen ‘lari daripada topik’. Namun, bagi yang tahu ‘whats the queston is all about’ ramai juga yang beri respons negatif yang tidak perlu saya ulang di sini. Kesimpulannya mereka yang tidak setuju mengaitkan penerimaan sumbangan AS dengan tindakan ‘memalukan’ dan ‘gadai maruah’.

Semua pendapat dan pandangan mesti dihormati. ‘Having said that’ saya kata sekali lagi Malaysia tak anggap AS musuh dan AS tak anggap Malaysia musuh.

Jadi, apa keputusan kerajaan? Carian menggunakan Google memberi AI overview: “Kerajaan Malaysia menerima sumbangan dana sebanyak RM1 juta daripada Amerika Syarikat untuk membiayai projek restorasi Tugu Negara”.

Tetapi, carian lanjut di Google tidak pula memberi kenyataan rasmi kerajaan atau laporan media mengenai sebarang keputusan.

Kalau tanya saya sudahkah kerajaan buat keputusan? Sumpah saya tak tahu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.