Kerusi itu saksi pertandingan tiga penjuru yang turut babitkan Perikatan Nasional (PN).

Calon BN Sahrihan Jani mendakwa beliau menerima maklum balas positif sepanjang kempen, hasil rekod perkhidmatannya kepada penduduk tanpa mengira kaum sejak empat tahun lalu.
“Saya nampak berlaku anjakan dari segi peningkatan sokongan bukan Melayu, sama ada Cina mahupun India.
“Mereka lebih selesa dengan kita kerana melihat gerak kerja kerajaan negeri dan wakil rakyat selama ini,” katanya kepada FMT.
Sahrihan berkata, pengundi bukan Melayu kini lebih terbuka menilai prestasi kerajaan negeri dan wakil rakyat, berbanding hanya menyokong satu gabungan tertentu.
“Mungkin kali ini bukan Melayu bukan lagi deposit tetap kepada PH. Rakyat menilai perubahan dan hasil kerja kerajaan negeri tanpa mengira kaum.”
Calon PH Mohd Nor Mohd Yusof pula berkata, sokongan masyarakat Cina kepada gabungan itu masih kukuh walaupun terdapat dakwaan undi bukan Melayu mungkin berpecah susulan kemunculan Bersama, parti serpihan PKR, dalam PRN Johor.
“Di Gambir, sokongan masyarakat Cina kepada PH masih kuat. Pertandingan hanya melibatkan BN, PH dan PN, jadi saya tidak nampak sokongan itu terjejas,” katanya.
Mohd Nor berkata, jika diberi mandat, beliau akan menumpukan usaha menyelesaikan isu asas penduduk seperti lampu jalan, jalan kampung yang belum berturap, capaian internet dan pembangunan belia.
Sementara itu, calon PN Suraya Sulaiman berkata, statusnya sebagai satu-satunya calon wanita dalam pertandingan itu menjadi kelebihan untuk mendekati masyarakat setempat.
“Saya anak tempatan dan satu-satunya calon wanita. Saya percaya dapat lebih dekat dengan denyut nadi masyarakat serta menarik sokongan semua kaum di Gambir, sama ada Melayu, Cina mahupun India,” katanya.
Suraya turut menafikan dakwaan wujud masalah kerjasama dalam PN, sebaliknya berkata jentera Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP bergerak seiring sepanjang kempen.
Jika dipilih, katanya, antara fokusnya ialah isu pencemaran alam sekitar, penyediaan tanah perkuburan, pembangunan infrastruktur, ekonomi desa dan pendidikan TVET untuk golongan muda.
Pada PRN lalu, Sahrihan memenangi kerusi Gambir dengan majoriti 3,146 undi dalam pertandingan empat penjuru. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.