Penduduk mahu bas, lampu jalan, tebatan banjir dan pembangunan yang mengekalkan suasana perkampungan yang harmoni.


Mohd Azmir Mansor berkata Kukup mempunyai kekuatan pelancongan tersendiri, termasuk Taman Negara Pulau Kukup, Taman Negara Tanjung Piai dan kedudukannya sebagai ‘hujung benua Asia’.
“Benda itu menjadi simbolik utama di Kukup,” katanya kepada FMT sambil mengimbau perkembangan antaranya pembesaran Terminal Feri Antarabangsa Kukup.
Menurutnya, terminal itu kini mengendalikan empat perjalanan sehari ke Tanjung Balai Karimun dan Selat Panjang, dengan kira-kira 350 hingga 500 penumpang keluar masuk setiap hari.
Katanya, Jambatan Sungai Pulai antara projek yang paling dirasai limpahannya kerana menjimatkan masa perjalanan ke Kukup dan membantu pergerakan penumpang ke terminal feri serta chalet.
Namun, Azmir berkata Kukup tidak perlu meniru pembangunan bandar secara berlebihan.
“Dapat limpahan sekitar 30-40% pun memadai.
“Kita tak nak pembangunan lebih-lebih sampai ‘keaslian’ Kukup hilang dan tidak terjaga,” katanya.

Peniaga tempatan Ng Ee Mei pula berkata tarikan Kukup terletak pada suasana kampung yang santai.
“Suasana kampung lebih santai dan digemari orang bandar,” katanya.
Ng berkata pelancongan yang semakin berkembang turut membantu perniagaan kecil, terutama kedai berhampiran jalan utama dan terminal feri.
“Pelancongan sekarang semakin maju, jadi perniagaan pun ok sikit,” katanya.
Beliau berharap pembangunan pelancongan dipercepatkan bagi menarik lebih ramai pelawat, termasuk untuk lawatan sehari atau menginap di chalet.

Sementara itu, Noor Amali berkata Kukup masih perlu penambahbaikan asas terutama tebatan banjir, perkhidmatan bas dan lampu jalan.
“Kalau bas ada, pelancong pun banyaklah datang lagi… maju sikit,” katanya.
Beliau juga mahu lampu di kawasan gelap dibaiki kerana laluan malam masih kurang selamat.
PRN Johor Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di DUN Kukup antara calon Barisan Nasional (BN) Israk Abdullah dan calon Pakatan Harapan (PH) Cheah Chee Hong.
Bagi penduduk, harapannya sama: siapa pun menang, mereka mahu wakil rakyat melihat sendiri kekurangan kampung dan bekerja untuk Kukup.
“Calon yang mana dipilih, harapannya bekerja untuk rakyat,” kata Azmir. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.