Presiden PAS berkata keadaan itu boleh menjejaskan kuasa politik umat Islam jika pengundi Melayu tidak menunaikan tanggungjawab pada PRN Johor.

Beliau berkata keadaan itu boleh memberi kesan kepada kuasa politik umat Islam sekiranya masyarakat Melayu tidak menunaikan tanggungjawab keluar mengundi, Sabtu ini.
“Saya risau apabila membaca dalam media bahawa 134 NGO pertubuhan Cina menggerakkan masyarakat Cina untuk pulang mengundi, sedangkan ramai orang Melayu tidak keluar mengundi.
“Ada yang tidak mengundi kerana hendak menunaikan umrah,” katanya selepas kempen Grand Finale Perikatan Nasional (PN) sempena PRN Johor di Simpang Jeram.
Semalam, media melaporkan sebanyak 134 persatuan Cina termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), mengeluarkan kenyataan bersama menggesa pengundi Johor dan Negeri Sembilan pulang mengundi.
Selain KLSCAH, kenyataan bersama itu turut ditandatangani termasuk Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), Jiao Zong (Persekutuan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia), Merdeka University Berhad (MUB), pelbagai dewan perhimpunan Cina negeri, Pusat Kajian Cina Malaysia (CMCS), serta Yayasan Kebudayaan LLG.
Hadi turut mengimbas kembali kerjasama PAS dengan DAP dan PKR sebelum ini, yang menurutnya dibuat atas asas menentang rasuah, penyelewengan, ISA dan beberapa dasar kerajaan pusat ketika itu.
Namun, katanya, PAS akhirnya berpisah dengan DAP kerana parti itu didakwa mahu PAS mengetepikan perjuangan menegakkan negara Islam.
“Apabila DAP meminta PAS mengetepikan perjuangan menegakkan negara Islam dan tidak lagi menyebut mengenainya, perkara itu tidak dapat kami terima.
“Apabila kita mahu menghalang arak dan judi di Kelantan, DAP membantah. Padahal, Perlembagaan Malaysia menyatakan hukum Islam dikenakan kepada orang Islam sahaja, manakala orang bukan Islam tidak dikenakan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.